Dokumentari Siti Are You Ready?: Penutup 2021 yang manis buat Siti Nurhaliza
30 Disember 2021
KUALA LUMPUR: Sejak dari hari pengumuman pada 22 Disember lalu mengenai tayangan filem dokumentarinya, halaman Facebook rasmi Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak putus-putus menerima kunjungan daripada pencinta-pencintanya.
Perkongsian cerita dan pengalaman daripada peminat-peminat setianya seperti menterjemahkan kecintaan mereka pada buah hati kesayangan ramai itu tidak berganjak walau seinci.
Melalui apa yang dikongsi tulang belakangnya itu, Siti Nurhaliza tentu sekali kekal sebagai penyanyi kesayangan mereka.
Justeru, pengumuman tayangan filem dokumentari, Siti Are You Ready? dan Konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour - Live In Concert terbitan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan Shiraz Projects di Astro First bermula 30 Disember (esok) disambut mereka dengan penuh kegembiraan.
Penyokong-penyokong Siti Nurhaliza benar-benar teruja.
Berita gembira yang dikongsi penghibur berusia 42 tahun itu seakan mengubati kerinduan melihat bintang kesayangan mereka di pentas sekalipun, hanya dapat menonton di kaca TV.
Sokongan padu peminat seperti yang selalu disebut pemilik suara emas ini adalah ‘kekuatan’ dan motivasi buatnya untuk terus mengharumkan persada seni tanah air.
“Setiap kali saya muncul dengan karya atau buah tangan terbaharu, saya tahu bagaimana sokongan peminat terutama mereka telah lama nenanti. Inikan pula sebuah filem dokumentari yang pertama kali saya muncul namun saya secara peribadi mahukan agar Siti: Are You Ready mengakhiri 2021 dengan sesuatu yang manis,” kata Siti Nurhaliza.
Filem dokumentari itu, cerita penyanyi lagu Jerat Percintaan dan Nirmala ini terlalu personal buatnya dan sewajarnya naskhah istimewa tersebut dikongsi dengan seluruh masyarakat.
Kata ibu kepada dua cahaya mata Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid itu, karya berkenaan berlatarkan realiti, bukan lakonan.
“Filem dokumentari ini mula dirakamkan sejak hari pertama kami berkumpul, bertemu sehinggalah ke hari terakhir konsert tamat. Semua momen ini adalah perjalanan dan situasi sebenar, ini bermakna apa yang anda lihat adalah saya, Siti Nurhaliza.
“Jika sebelum ini hanya cebisan klip belakang tabir saya kongsikan namun kali ini dijadikan sebuah tontonan selama 1 jam 20 minit.
“Itulah sisi sebenar saya sebagai Siti Nurhaliza. Anda akan lihat bagaimana saya berkejar dari satu tempat ke satu tempat, gaya sederhana saya, makan juga hanya sempat dalam kereta dan sebagainya. Semua itu bukan lakonan kerana setiap gerak geri saya dirakamkan,” dedah penyanyi masyhur itu lagi.
Secara peribadi, Siti Nurhaliza berpendapat, karya dokumentari itu sangat-sangat disenanginya.
Kebetulan pula, tenaga kerja di sebalik penerbitan dokumentari itu sudah sering bekerjasama denganya menjadikan setiap plot yang terhasil menepati matlamat dan kehendaknya.
“Saya seronok dan kagum dengan hasil kerja Rasa Film, yang juga menjadi pengarah filem dokumentari ini serta mereka juga menyunting konsert Siti Nurhaliza On Tour.
“Mereka sudah lama bekerja dengan saya dan sudah memahami saya, apatah lagi mereka juga peminat saya, segalanya mengalir dengan baik. Dari minit ke minit, saya dapat merasakan auranya pada semua segi, visual, suntingan, audio dan lain-lain,” kata Siti Nurhaliza sambil bibirnya tidak lekang mengukir senyuman bahagia.
Siti: Are You Ready? merupakan sebuah filem dokumentari berdurasi 80 minit yang menampilkan detik di atas dan di belakang pentas, persembahan langsung serta “Untold Story” sepanjang jelajah Konsert "Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour" di tiga buah negara iaitu Indonesia (Jakarta), Singapura dan Malaysia (Kuala Lumpur).
Manakala Dato’ Sri Siti Nurhaliza on Tour – Live In Concert ialah gabungan rakaman tiga destinasi yang difilemkan di hadapan sekitar 20,000 para peminat sepanjang konsert jelajah berlangsung di Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur pada 2019. Konsert tersebut berlangsung dengan jayanya pada 21 Februari 2019 (Istora Senayan, Jakarta), 2 Mac 2019 (Singapore Expo, Singapura) dan 16 Mac 2019 (Axiata Arena, Kuala Lumpur).
Comentarios