top of page
  • Farah

Dr Mahathir kini sertai parti Putra

25 Feb

Selepas mengumumkan keputusan keluar daripada parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan sudah menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali.


Bekas Perdana Menteri dua kali itu dilaporkan sebelum ini keluar parti diterajui anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas timbul pertikaian berhubung hala tuju parti tersebut.


Langkah Dr Mahathir menyertai Putra itu dimaklumkan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Armin Baniaz Pahamin menerusi satu hantaran Facebooknya.


Selain Dr Mahathir, 12 ahli yang sebelum ini keluar daripada Pejuang juga mengikuti jejak langkah beliau untuk menyertai Putra.


Menurut Armin Baniaz, mereka yang dikenali kumpulan G13 mendaftar keahliannya bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama Putra.

“Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang orang, parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan Melayu. Hanya melalui penyatuan orang-orang Melayu dapat kita bersatu menyelesaikan masalah bangsa demi agama dan tanah air,” katanya.


Sebelum ini, Dr Mahathir memberi bayangan untuk menyertai Putra selain berhasrat menjadi Penasihat.


Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bersama 12 pemimpin Pejuang mengumumkan keluar parti dan antaranya, bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.


Mereka menyuarakan kekecewaan terhadap Pejuang memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) yang secara tidak langsung menyingkirkan mereka sebagai penggerak perjuangan gabungan itu.


Dr Mahathir menubuhkan Pejuang pada 2020 selepas meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuhkannya pada 2016 selepas keluar UMNO.


Pada Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, yang dianggotai Pejuang bersama dua parti kecil dan profesional Melayu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

bottom of page