• newsatmy

Dua tahun Awi tidak bertemu ibu

16 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Sebaik pintu sempadan dibuka, perkara pertama ingin dilakukan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, 34, pulang ke kampung halaman untuk memeluk dan cium bonda tercinta.


Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sudah dua kali Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur secara bersendirian.


"Saya pernah tidak pulang berhari raya selama dua tahun ketika menuntut di Australia, tetapi keadaannya berbeza ketika itu. Bagi saya, kali ini lebih pedih kerana saya tidak boleh pulang sesuka hati berikutan pintu sempadan ditutup akibat pandemik COVID-19.


"Keadaan ini amat mencabar, saya terlalu merindui keluarga kerana sudah hampir dua tahun tidak bersua muka bersama mereka, terutama ibu. Namun, saya reda kerana bukan saya sahaja berdepan dengan dugaan ini, sebaliknya semua orang melaluinya, jadi saya perlu kekal positif.


"Namun, andai waktu sudah tiba boleh merentas negara, saya akan terus pulang ke pangkuan keluarga. Saya ingin meminta maaf kepada ibu kerana selalu berjauhan dan tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan sempurna. Saya bersyukur ibu dan ahli keluarga faham rezeki saya di sini," katanya kepada BH Online.


Katanya, pastinya panggilan telefon dan video menjadi pengganti diri di pagi Syawal, tetapi keseronokan itu tidak sama berbanding dapat bersua muka dengan insan tersayang.


Walau berjauhan, Awi yang popular menerusi lagu Pulang berkata, dia lega kerana kakak dan abangnya berada di sisi ibu. Sekurang-kurangnya, ada juga ahli keluarga boleh menjaga ibunya sepanjang ketiadaannya.


"Saya selalu menghubungi ibu untuk bertanyakan khabar. Bagaimanapun, perasaan ini tidak sama berbanding berjumpa dan duduk berdepan dengannya. Namun, saya tiada pilihan lain dan ini adalah alternatif terbaik, buat masa ini.


"Saya bersyukur kakak dan abang menetap di Singapura. Sedikit sebanyak tenang hati apabila ada adik beradik menjaga ibu. Jika rindukan keluarga, saya akan mengalihkan tumpuan dengan membuat perkara lain seperti menghasilkan lagu supaya dapat menyembunyikan perasaan sedih dan rindu," katanya.


Ditanya kenangan beraya bersama keluarga yang paling dirindui, Awi yang kali terakhir pulang ke Singapura pada Mac 2019 berkata, dia amat merindui gelak ketawa bersama keluarga.


"Saya rindukan saat berkumpul bersama keluarga dan gelak ketawa bersama mereka.


Masakan dan kuih raya hasil tangan ibu serta kakak paling digemari. Saya juga rindu membeli persalinan baharu untuk digayakan ahli keluarga pada pagi Syawal. Semua ini hanya tinggal memori dalam keadaan sekarang," katanya sebak.


Mengenai sambutan raya di Kuala Lumpur, Awi meluahkan kesyukuran mempunyai ramai teman yang sudah dianggap seperti keluarga besarnya.


Katanya, kakitangan dan pasukan syarikat rakaman, Newsantara seperti keluarganya, justeru tidak berasa sunyi biarpun bersendirian di perantauan.


Sementara itu, Awi buat kali pertama mengubah lagu raya berjudul Irama Aidilfitri dengan kerjasama Habib Jewels.


Video muzik lagu Irama Aidilfitri antara yang termahal kerana menampilkan nama hebat seperti Ning Baizura, Tiz Zaqyah, Ismail Izzani, Julia Farhana, Bunga Isme dan Rozita Che Wan serta artis baharu Newsantara.


-BH online