top of page
  • admin

DUN Perak bubar berkuat kuasa hari ini


IPOH, 17 Okt- Teka-teki mengenai status Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akhirnya terjawab. Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamed mengumumkan pembubaran DUN Perak ke-14 berkuat kuasa hari ini. Pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. "Maka suka cita saya maklumkan kepada media hari ini bahawa saya telah menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang membawa maksud bahawa Baginda telah memberi perkenan DUN Perak ke-14 dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 17 Oktober," katanya dalam sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang.


Terdahulu, Datuk Seri Saarani telah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN Perak untuk pertimbangan Sultan Perak selaras dengan Perkara 32(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Sultan Nazrin bertitah bahawa sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN akan diumumkan selepas baginda berkenan membuat keputusan.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN. DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).

bottom of page