• Nihaba

DUN Serawak mungkin dibubarkan dalam masa terdekat

21 Oktober 2021

KUCHING: Khabar angin bertiup kencang kini mendakwa Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat ini (22 Oktober 2021).


Memetik laporan Astro Awani, Abang Johari dijangka akan membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang media khas di Kuching.


Menurut sumber yang rapat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekretariat pilihan raya gabungan itu telah meminta calon untuk mengemukakan maklumat terkini kepada ibu pejabat parti.


Selain itu, satu sumber lain turut memberitahu, Abang Johari telah menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan bagi cadangan pembubaran DUN.


Pengumuman tersebut dikatakan akan dibuat sebelum lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke bumi Kenyalang pada Sabtu, sekali gus melancarkan program Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.


DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, bagaimanapun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.


Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.


Pada Julai, Abang Johari Abang Openg dilaporkan berkata, kerajaan negeri belum membincangkan tarikh sesuai mengadakan PRN Sarawak Ke-12.