top of page
  • newsatmy

Elak perbincangan terbuka pembahagian kerusi PRU15 dalam PN - Annuar Musa

Abd Razak Mohd Ali

Disember 20, 2020 18:44 MYT



Annuar turut menjelaskan, kenyataan Asyraf Wajdi bahawa perbincangan agihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan antara UMNO dengan Pas tetapi BN dan PN telah disalah tafsir


Perbincangan secara terbuka mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kalangan parti dalam Perikatan Nasional (PN) perlu dikurangkan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.


Katanya, perbincangan atau kenyataan terbuka sedemikian boleh menyebabkan berlaku salah tafsiran dan persepsi sehingga menimbulkan kekeliruan.


"Sebab banyak sangat orang yang bercakap, kemudian dia bercakap tidak beri (penerangan) secara terperinci, maka berlaku (pelbagai) tafsiran dan juga persepsi. Saya rasa elok kalau itu boleh dikurangkan," katanya di sini, hari ini.


Beliau berkata, secara dasarnya perbincangan mengenai perkara itu melalui tiga peringkat dengan Majlis Presiden PN akan membuat keputusan muktamad selepas menerima laporan daripada Sekretariat Setiausaha-Setiausaha Agung.


"Di peringkat ketiga, Pas, Umno dan Bersatu, telah bersetuju untuk membentuk jawatankuasa perunding yang terdiri daripada tujuh orang wakil setiap parti.


"Jadi sekarang kita sudah ada di peringkat ini (ketiga) dan sekiranya telah siap, ia akan dibawa ke peringkat sekretariat yang kemudiannya disampaikan kepada Majlis Presiden," katanya.


Beliau turut menjelaskan, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini, bahawa perbincangan agihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan antara UMNO dengan Pas tetapi Barisan Nasional (BN) dan PN telah disalah tafsir.


Annuar ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Ke-28 di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Perak pada Ahad.


Turut hadir, Presiden IPF Malaysia, Datuk T Loganathan dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.


Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, pembahagian kerusi untuk menghadapi PRU15 turut mengambil kira parti yang menjadi rakan di dalam Barisan Nasional (BN) seperti yang diarahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


"Prinsip BN jelas, kita menerima baik 'friends of BN' yang mana kita boleh bekerjasama... kita boleh bermuafakat dan sokong-menyokong.


"Macam Pengerusi BN beritahu saya sendiri, kalau mahu susun kerusi, kita kena ambil kira 'friends of BN'. Jadi, IPF misalnya... tak ahli (BN) tapi ada tempat yang sesuai, yang ada prospek bawa kemenangan kepada kita maka tak ada masalah kita berkompromi beri kerusi kepada IPF," katanya.


Menurutnya, walaupun pembahagian kerusi belum diputuskan, tiada masalah jika mana-mana pihak termasuk pemimpin parti yang menjadi rakan BN untuk memberi khidmat kepada rakyat.


Ia bagi memudahkan mereka diterima rakyat sekiranya diputuskan menjadi calon kelak selain mengelakkan tanggapan calon payung terjun.


Sumber-Astro Awani

bottom of page