top of page
  • admin

Elaun guru KAFA tidak setimpal gaji minimum


AYER KEROH 15 Mac: Kerajaan negeri diharap dapat membantu menyelesaikan masalah elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang masih lagi rendah.


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, kadar elaun yang rendah tidak menjamin untuk mereka menampung keperluan keluarga.


Lebih-lebih lagi sekarang kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Dengan alasan waktu bekerja yang kurang lapan jam sehari, guru-guru KAFA tidak diberi jaminan setimpal gaji minima yang ditetapkan kerajaan RM1,500 sebulan,” ujarnya ketika Perbahasan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada sidang Dun di sini semalam.


Dr Mohd Yadzil, kerajaan negeri boleh memanjangkan waktu mereka bertugas mengikut waktu normal selama lapan jam sehari bagi melayakkan mereka mendapat gaji yang setara.

“Jadikan waktu kerja yang lebih awal untuk persiapan kelas atau bahan pembelajaran di sekolah bukan lagi disediakan di rumah. Mungkin masa yang ada juga boleh digunakan untuk kerja-kerja CSR kerajaan atau projek-projek keceriaan sekolah.

“Jadi tidak perlu mereka hadir ke sekolah pada hujung minggu untuk program berkenaan. Sudahlah gaji kecil terpaksa pula kerja lebih waktu tanpa elaun tambahan,” ujarnya yang juga Adun Perikatan Nasional Bemban.


Beliau turut membangkitkan ada tulisan yang tular di media sosial diluah guru KAFA yang diancam ditolak gaji jika cuti lebih dari sehari.


Menurutnya tulisan itu antara lain berbunyi ‘Kalau tak nak kerja, ramai lagi yang nak kerja’ yang difahamkan dikeluarkan seorang pegawai kerajaan dianggap biadab.

Kata beliau guru KAFA merupakan pendidik yang patut dihargai kerajaan negeri dan dibantu memperjuangkan nasib mereka.

“Tanpa mereka sudah tentu pendidikan Islam anak-anak di peringkat sekolah rendah di Melaka tidak akan sempurna,” ujar beliau.


Oleh itu beliau berharap Ketua Menteri yang dikenali memiliki ciri-ciri Islamik dapat meneliti masalah dihadapi guru KAFA.

Comments


bottom of page