top of page
  • newsatmy

Elly bengang dikecam kongsi tips kehamilan


11 April 2021 KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, 41, bengang dengan sikap sesetengah netizen yang mengecam keikhlasannya berkongsi tips kehamilan dengan pengikut dalam laman Instagram.


Baru sahaja muncul dengan single Dusta Cinta, Elly meminta meminta netizen yang subur dan tiada benda baik untuk bercakap menutup mulut. Niatnya mahu ingin membantu wanita yang memerlukan.


"Saya menerima banyak mesej langsung daripada wanita yang bertanyakan tips kehamilan sejak mengumumkan berita kehamilan dalam IG, baru-baru ini.

"Siapa sangka, ramai wanita berusaha untuk mendapatkan zuriat. Malah, ada yang sudah lama berkahwin lama belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.


"Saya bukan pakar mahupun doktor, tetapi saya hanya ingin berkongsi tips yang diamalkan. Ada antara tips dikongsikan oleh orang lain kepada saya. Jadi, tidak salah untuk saya memanjangkan tips berkenaan supaya menjadi lubuk pahala.

"Memang rezeki datang dari Allah, tetapi kita tidak boleh hanya menadah tangan dan mengharapkan keajaiban berlaku. Sebaliknya, kita sendiri perlu ada usaha," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang disiarkan menerusi RTM1.


Program 29 episod terbitan Mache All Star United Sdn Bhd dengan kerjasama Minyak Masak Kijang Gold itu akan menemui penonton sepanjang Ramadan ini.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia merancang berkongsi tips dan pemakanan yang diamalkan untuk memperoleh zuriat menerusi sesi secara langsung di IG pada awal Ramadan ini.


Katanya, dia berhasrat mengendalikan sebuah majlis kecil agar dapat bertemu dengan wanita yang sedang berusaha mendapatkan cahaya mata, bagaimanapun keadaan tidak mengizinkan.


"Insya-Allah, saya akan mengadakan sesi secara langsung di IG, awal Ramadan ini. Saya akan menerangkan dengan jelas apa amalan yang dilakukan. Tanyalah apa sahaja, saya akan cuba jawab mana yang termampu.


"Mungkin sesi berkenaan akan mengambil antara satu hingga tiga jam, tetapi saya tidak kisah asalkan dapat memberi manfaat kepada pengikut. Sebab itu, saya kena pastikan jadual kosong barulah boleh melakukan sesi perkongsian ini.


"Pada wanita yang subur dan segar bugar tolonglah diam, jangan hanya tahu mengecam. Saya paling geram apabila ada netizen kata tidak perlukan tips untuk mendapatkan zuriat.


"Wanita yang subur memanglah tidak memerlukannya, tetapi cuba memahami perasaan wanita lain yang terlalu mengharap untuk bergelar ibu. Jika tiada benda baik hendak diperkatakan, sila diam dan doakan mereka yang mengharapkan zuriat supaya dapat nikmat sebagai ibu," katanya kepada BH Online.


Elly Mazlein bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek (tiga dari kiri), Ketua Penolong Pengarah Unit Kandungan Kreatif RTM, Suhana Suratman (dua dari kanan), Pengarah Urusan Mache Allstar United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari (kiri) dan Pengarah Urusan Minyak Masak Kijang Gold, Nor Sabimi Mohd Aluwi (kanan) pada majlis pelancaran program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom di Kelab Tasik Putrajaya. - NSTP/Hazreen Mohamad


Sementara itu, berkongsi pengalaman mengandung kali kedua, Elly berkata, dia tidak mengalami alahan teruk.


Sebaliknya, katanya, dia hanya kekurangan selera makan dan tidak boleh menghidu bau masak terutama bawang putih dan merah yang ditumis.

Katanya, dia gemar memakan sushi, tetapi hanya boleh menikmatinya di restoran sejak hamil.


Bagaimanapun, Elly berkata, dia dapat merasakan perbezaan hamil anak pertama dan kedua pada usia 41 tahun.


"Walaupun usia kandungan baru tiga bulan, saya cepat mengah seakan-akan sudah mengandung enam bulan. Memang terasa perbezaan sewaktu mengandungkan Sefhia dengan sekarang.


"Berat badan tidak naik hinggakan doktor pula risau. Saya tidak mengamalkan sebarang makanan tambahan sepanjang mengandung, hanya mengikut apa yang doktor sarankan dan selebihnya menjaga makan serta minum.


"Insya-Allah, saya akan menghentikan aktiviti seni sekitar September depan. Saya tidak lagi menerima sebarang tawaran baharu, sebaliknya menghabiskan saki baki tawaran yang dipersetujui lebih awal.


"Ada satu lagi drama yang perlu disiapkan sebelum berehat panjang," katanya.

Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 31, pada 18 Januari, tahun lalu.


Sebelum ini, Elly pernah berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 2014, namun bercerai pada 2015 ketika hamil empat bulan. Mereka dikurniakan seorang cahaya perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun. -BH Online

bottom of page