top of page
  • admin

Elok PRU15 segera diadakan -Muhyiddin


KUALA LUMPUR,19 Sept: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin menganggap ada keperluan untuk penggantinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih efektif.


Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menegaskan, apa yang dilihat beliau ialah situasi pengurusan ekonomi dan negara pada masa kini agak meruncing.


Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, terdapat beberapa perkara yang telah dibangkitkan oleh MPN, namun, hal itu seperti tidak dipandang serius oleh Ismail Sabri serta barisan Jemaah Menteri.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.

“Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” tegas Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun, belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini.


Beliau berkata, isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius dan Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.


“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.

“Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Is this, okay? No, it is not okay,” tegasnya lagi.


Katanya lagi, mungkin itu menjadi punca mengapa hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini sementara hanya 18 peratus rakyat berpuas hati dengan pengurusan ekonomi negara.


“Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah.


“Pada masa yang sama, Barisan Nasional sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan,” katanya lagi.


Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik, jelas telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat


Katanya lagi, beliau telah menyuarakan kebimbangan dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk pelaksanaan semula moratorium untuk

Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan. “Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.


“Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini,” tegasnya lagi.


Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau telah membaca satu laporan kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Disember 2021.


Kajian itu, katanya, mendapati 12 peratus rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari (skip meal), 12 peratus tangguh rawatan perubatan, manakala 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.


Selain itu, Muhyiddin berkata, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara.


Sementara, 76 peratus daripada kumpulan itu, tambahnya lagi, berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.=Asro Awani

bottom of page