• Hanna

Elyana jalani radioterapi di bahagian hati, pinggul

28 Julai 2021

Penyanyi dan pelakon, Elyana, menjalani rawatan radioterapi di bahagian hati dan pinggul di sebuah hospital swasta hari ini bagi merawat penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.


Menerusi kemas kini di laman Instagram, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emriza, 34, berkata dia dimasukkan ke hospital sejak semalam.


"Malam ini (Isnin) tidur seorang diri di hospital.


"Tiba-tiba sayu rasa. Kebetulan sudah empat hari saya tak cukup tidur sebab sebelah badan sakit... tak tau kenapa. Tetapi saya jangka itu angin yang dah tangkap saraf," katanya dalam entri yang dimuat naik pada Isnin.


Dalam entri sama, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu turut memuat naik gambar dia dalam keadaan tersenyum, sambil memohon orang ramai mendoakan kesihatannya.


"Doakan radioterapi saya kali ini berjalan lancar dan semoga saya kuat," tulisnya lagi.

Sementara itu, perkongsian video di Instagram Story pula, Elyana dilihat memasuki wad radioterapi sekitar pukul 2 petang.


Sebelum ini, Elyana mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan dia menghidap kanser tahap empat dalam program realiti nyanyian, Gegar Vaganza.


Difahamkan, Elyana menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu dan dia hanya membuat pendedahan mengenai penyakitnya itu pada 2017.


Kanser tersebut turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.


Pada Jun lalu, Elyana turut menjalani rawatan radioterapi.