• Arissa Azman

Empat lagi AJK Srikandi Bahagian Johor Bahru letak jawatan

22 Jun 2021

JOHOR BAHRU: Empat lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi Bahagian Johor Bahru mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa pada Ahad.


Mereka ialah Hafsah Ahamed, Nur Diana Abdul Halim, Puteri Firdaus Aswad Megat dan Sulhaza Suleiman yang merupakan AJK lantikan.


Surat peletakan jawatan mereka sudah diserahkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.


Menurut Hafsah, peletakan jawatan mereka kerana tiada lagi persefahaman dengan kepimpinan peringkat bahagian yang dilihat tidak mendengar suara dan cadangan akar umbi.


"Apa yang dicadangkan akar umbi tidak pernah kepimpinan Srikandi bahagian ambil peduli. Ini menyukarkan kami untuk berkhidmat sebagai AJK," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.


Sebelum ini, Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian Johor Bahru, Masazlina Bachok bersama timbalannya, Khairunnisah Ali dan enam AJK Srikandi bahagian itu mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa pada Ahad.


Mereka meletak jawatan kerana mendakwa Ketua Srikandi bahagian itu, Datuk Azlinda Abdul Latif tiada ketelusan dalam kepimpinan.


Ditanya adakah Srikandi bahagian itu dibubarkan susulan peletakan jawatan 10 AJK, Hafsah berkata, perkara itu akan diputuskan pucuk pimpinan parti.


Bagaimanapun, katanya, Bersatu Pusat setakat ini masih belum menghubunginya.



--Sinar Harian