• newsatmy

Enam atlet diserap dalam skuad baharu angkat berat kebangsaan

22 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Enam atlet diserap dalam pasukan angkat berat kebangsaan bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Hanoi dan Sukan Komanwel Birmingham 2022, berkuat kuasa 3 Jan depan.


Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat memaklumkan mereka yang diserapkan ke dalam skuad baharu itu adalah Mohamad Aniq Kasdan yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (61 kg), Muhammad Erry Hidayat (73 kg), Mohd Nasir Roslan (81 kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109 kg dan ke atas) dan seorang atlet wanita, Elly Cassendre Engelbert (55 kg).


"Seorang lagi atlet wanita akan dipanggil menyertai pasukan ini setelah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari Institut Sukan Negara (ISN) berikutan kecederaan dialami," katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Ayub berkata pembentukan pasukan baharu tersebut yang dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu mesyuarat Ahad lepas, menyaksikan pelantikan seorang jurulatih antarabangsa dan tempatan, yang akan didedahkan identitinya tidak lama lagi bagi membimbing skuad kebangsaan


Beliau berharap agar kesemua atlet terpilih dapat mempamerkan prestasi cemerlang serta mampu mengharumkan negara pada temasya sukan yang bakal disertai kelak.


Sementara itu, Ayub berkata pihaknya mengambil maklum penggantungan dua atlet kebangsaan selama empat tahun bemula 16 Julai lepas susulan isu doping, berikrar memberi kepercayaan penuh kepada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) untuk menguruskan kes tersebut selain bertindak sebagai pemerhati dalam pengendalian kes itu.


Pada Isnin, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan dua atlet berkenaan Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari masing-masing digantung daripada sebarang penyertaan sukan selama empat tahun susulan isu penggunaan bahan terlarang.


Menurut KBS, perkara itu diputuskan Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia selepas kedua-dua atlet tersebut membuat pelanggaran artikel 2.1 dan artikel 2.2 Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021.


Bagaimanapun, kedua-dua atlet terbabit boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan tersebut kepada ADAMAS dalam masa 21 hari daripada tarikh surat pemakluman keputusan kepada mereka.


Isu doping melanda dua atlet berkenaan menyaksikan PABM dan MSN bersetuju membubarkan skuad sedia ada yang menyaksikan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet terlibat diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 Nov lepas.




-- BERNAMA