top of page
  • newsatmy

Enam kategori pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus seawal 1 Mac

1 Februari 2011

Enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi dibenarkan ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac ini bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.


Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan perkara itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan beberapa sesi libat urus, kajian dan tinjauan yang dijalankan dengan pihak berkepentingan.


Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.


Kategori kedua membabitkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian.


Ketiga, pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.


Bagi kategori keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.


Kategori kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan keenam pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.


“KPT prihatin dan menyedari kepentingan dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berjalan dengan sempurna walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19,” katanya kenyataan itu.


Dalam perkembangan sama, KPT memaklumkan pelaksanaan PdP secara hibrid dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.


“Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian,” katanya.


Mengulas lanjut, KPT menegaskan pihaknya mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan (KKM), pakar kesihatan dan MKN berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal.


Selain itu, kajian dan tinjauan dibuat oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mendapati majoriti pelajar mahukan sesi (PdP) diadakan secara dalam talian.


Berhubung pergerakan pulang pelajar berkeperluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, pelajar dari dua negeri itu diwajibkan untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 yang akan dibiayai oleh KKM.


Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan bergerak ke kampus.


Kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

bottom of page