top of page
  • Writer's pictureNihaba

#EngineeringIsScam

23 Jun 2021

Baru-baru ini tular dengan tanda pagar Engineering is scam. Heboh satu Malaysia memberi pendapat dan pandangan masing-masing. Perbandingan diantara profesion dan gaji juga tidak ketinggalan diperdebatkan. Sebaik sahaja tamat pengajian, sudah pastinya fikiran terbayangkan alam pekerjaan dan pendapatan sendiri. Namun tidak semua graduan bernasib baik mendapat peluang pekerjaan yang diinginkan. Ada yang terpaksa mengganggur atau mencari pekerjaan sementara sebelum benar-benar mendapat kerja dalam bidang yang dipelajari di kolej atau universiti.


Sebenarnya, senario berkerja dibidang berbeza daripada apa yang dipelajari bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, yang merunsingkan lepasan universiti ini adalah gaji yang ditawarkan tidak seperti yang diharapkan. Jika disebut jurutera bunyinya memang gah tapi gajinya tidak melambangkan jawatan yang dipegang ibarat indah khabar dari rupa.

Isu gaji yang rendah untuk jawatan jurutera memang sudah lama dihujahkan tetapi kembali dingin dan tidak diingati sehinggalah baru-baru ini kembali hangat diperkatakan. Pelbagai tanda pagar yang terkait dengan isu ini kembali hangat dan viral. Mari kita meneliti isu ini dari segi:


i. Kos jurusan kejuruteraan

ii. Gaji yang ditawarkan

iii. Bekalan pekerja mahir industri


Kos Jurusan Kejuruteraan


Berikut disenaraikan beberapa universiti terkemuka berserta pogram dan kos pengajian untuk mahasiswa sepenuh masa:-


Universiti Teknologi Malaysia


Universiti Sains Malaysia


Universiti Kebangsaan Malaysia

Universiti Malaya

Secara puratanya, kadar yuran pengajian mengikut jurusan adalah seperti di bawah;

Jika kita perhatikan di sini, jurusan kejuruteraan merupakan jurusan kedua termahal selepas jurusan perubatan. Malangnya kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu, meskipun negara mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan.


Kos Jurusan Kejuruteraan

Ketika ini graduan baharu kejuruteraan hanya menerima bayaran kurang RM2,500 sebulan, dan ini bukanlah suatu gaji yang lumayan seperti yang dipercayai masyarakat. Kadar gaji itu pula hanya ditawarkan di bandar besar seperti di Lembah Klang, di mana permintaan pasaran adalah tinggi manakala kadar gaji di kawasan bukan bandar besar adalah lebih rendah.

Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Megat Johari Megat Mohd Noor, berkata universiti tempatan menghasilkan kira-kira 10,000 graduan kejuruteraan setiap tahun dan bilangannya meningkat saban tahun. Bagaimanapun, industri di Malaysia tidak melihat kemahiran sebagai satu nilai yang berharga untuk dibayar, menjadi punca bidang kejuruteraan negara masih tidak meningkat ke tahap yang sepatutnya. Lebih teruk dari itu, pemain-pemain industri lebih berminat mendapatkan tenaga luar seperti dari negara jiran yang akan menerima apa saja tawaran.


Industri juga berasakan graduan kejuruteraan tidak bersedia untuk membuat kerja, tetapi tidak mahu melabur untuk memberi latihan dan pengalaman yang betul. Keadaan ini menyebabkan taraf gaji jurutera negara hari ini dalam keadaan yang tidak signifikan kerana industri tidak berusaha untuk meningkatkan tahap kemahiran jurutera. Seperti yang dimaklumkan, graduan kejuruteraan ditawarkan gaji sekitar RM2,500 dan hanya akan menikmati kenaikan setaraf selepas lima tahun. Mereka yang ditawarkan jawatan pembantu jurutera pula hanya akan menerima gaji sekitar RM1,800 meskipun mempunyai kelayakan setaraf. Bagi sektor awam, gaji Gred J41 adalah RM2,529 untuk jurutera awam manakala RM2,360 bagi jurutera mekanikal dan jurutera elektrik.


Situasi ini menyebabkan ramai graduan kejuruteraan bertindak ‘lari bidang’ dengan memilih pekerjaan lain, atau bersaing untuk mendapatkan tempat dalam perkhidmatan kerajaan yang menjanjikan imbuhan gaji yang lebih tinggi. Isu gaji kelihatan semakin memburuk apabila industri hari ini tidak berkembang pesat seperti yang dijangkakan dan ia diburukkan lagi kerana ada majikan yang mengambil kesempatan daripada situasi sekarang.


Bekalan pekerja mahir industri


Secara statistiknya, lebih 90 peratus syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan di negara ini tidak mempercayai kemampuan bakat tempatan, sekali gus menyebabkan ramai jurutera dan graduan kejuruteraan tidak menerima pengiktirafan dan gaji setaraf. Situasi itu menyebabkan pembangunan kejuruteraan negara berada dalam tekanan kerana industri ketika ini lebih menggemari kepakaran dan teknologi luar, khususnya dari negara jiran, berbanding tenaga tempatan.


Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) mendapati lebih 5,000 syarikat kejuruteraan ketika ini tidak mahu terbabit dalam program pembangunan jurutera, termasuk bidang penyelidikan. Akibatnya, sektor perindustrian negara tidak membangun pada tahap yang sepatutnya, meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan untuk mencapai tahap negara maju. Dalam erti kata lain, syarikat kejuruteraan di Malaysia ketika ini tidak berminat untuk melabur dalam meningkatkan kemahiran bakat kejuruteraan tempatan, sebaliknya hanya menggunakan penyelidikan serta kepakaran sedia ada atau dari luar negara. Keengganan industri untuk memberi upah yang setimpal kepada bakat tempatan menyebabkan gaji jurutera di Malaysia jauh lebih rendah, berbanding di negara lain dan tidak sepadan dengan tahap kemajuan negara.


Malaysia sebenarnya mempunyai ramai bakat tempatan dan program pendidikan kejuruteraan juga amat setanding dengan negara maju. Walaubagaimanapun perkara itu kelihatan tidak seimbang dengan tahap kejuruteraan negara masa kini sehingga memberi kesan terhadap pembangunan beberapa industri negara. Ribuan syarikat melakukan pelbagai jenis projek, tetapi mereka tidak mahu melabur dalam meningkatkan taraf bakat tempatan. Situasi ini memberi kesan kepada negara dan boleh dikatakan implikasi itu sudah mula dirasai, kerana industri hari ini dilihat lebih memberi peluang kepada kepakaran dari luar. Sebagai contoh, pelabur-pelabur asing membina kilang perindustrian mereka di sini, tetapi bila mahu menggunakan kejuruteraan dan teknologi baharu, mereka lebih memilih negara jiran. Singapura sebelum ini memacu kemajuan dengan mewujudkan pembangunan dan pembinaan yang hebat, tetapi kini menumpukan kepada bidang penyelidikan seperti pelan memulihara bangunan sedia ada. Pastinya, Malaysia sukar mencapai status negara maju jika perkara ini berterusan berlaku.


Suka untuk saya memetik kata-kata Pengerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan Malaysia (EAC) Encik Megat Johari, bahawa bakat kejuruteraan negara sememangnya cemerlang tetapi imej yang ada pada hari ini tidak meletakkan mereka di tahap sepatutnya. Bakat kejuruteraan kita sememangnya bertaraf dunia kerana sistem pendidikan kita adalah yang terbaik ditawarkan kepada pelajar malah jika di luar negara, pelbagai pengiktirafan pasti kita akan terima. Ini terbukti apabila kebanyakan jurutera kita diterima baik di luar negara.


Malaysia perlu melakukan sesuatu agar bidang kejuruteraan sentiasa dilihat mempunyai potensi besar untuk dipelajari. Malah, agak sukar untuk negara mencapai tahap negara maju jika tiada inisiatif yang drastik dan signifikan diambil. Tanpa usaha yang jelas, bidang kejuruteraan tidak akan mengalami perubahan dalam sistem kerja dan ini boleh diterjemahkan melalui tawaran gaji kepada jurutera kita yang selama-lamanya tidak lumayan.



Mohamed Nizam bin Hassan.



--PN Online

bottom of page