• Syafiq

England, Croatia sah ke pusingan 16 terbaik

23 Jun 2021

Bagai diramal, England berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020 apabila menewaskan Republik Czech 1-0 di Stadium Wembley pada awal pagi Rabu.


Tandukan Raheem Sterling pada minit ke-12 nyata sudah memadai buat skuad The Three Lions itu memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati.


Republik Czech turut berpeluang mara ke pusingan 16 pasukan terbaik berdasarkan kepada kedudukan ketiga terbaik kumpulan, namun perlu menunggu keputusan perlawanan lain bagi mengesahkan kemaraan.


Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan D pada awal pagi Rabu, Croatia turut mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik setelah menewaskan Scotland 3-1 di Hampden Park, Glasgow.


Croatia membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi Nikola Vlasic namun rembatan deras Callum McGregor pada minit ke-42 menjadikan kedua-dua pasukan terikat 1-1, menuju ke bilik persalinan.


Kedua-dua pasukan dilihat mula menggandakan asakan pada babak kedua bagi menambah jaringan, namun tuah nyata memihak kepada Croatia apabila Luka Modric menjaringkan gol kedua pada minit ke-62 sebelum penyerang, Ivan Perisic menanduk masuk gol ketiga yang juga gol kemenangan skuad The Blazers itu pada minit ke-77.


- PN Online