• newsatmy

Euro 2020: Croatia sahkan kemaraan dengan singkir Scotland

23 Jun 2021

CROATIA 3 SCOTLAND 1


Croatia memastikan tempat dalam pusingan kalah mati Euro 2020 dengan menyingkirkan Scotland hasil kemenangan 3-1 di Glasgow awal pagi tadi.


Selepas mendahulu menerusi jaringan Nikola Vlasic pada minit ke-17, skuad kendalian Zlatko Davic itu membenarkan Calum McGregor menyamakan kedudukan pada minit ke-42, di mana jaringan itu juga merupakan gol pertama Scotland dalam Kejohanan Eropah sejak 1996.


Bagaimanapun, Croatia jelas berada di tahap tersendiri apabila pemain veteran, Luka Modric, memanfaatkan siri hantaran cantik di depan gawang lawan untuk menamatkannya dengan rembatan dari luar kawasan penalti yang tepat menuju ke sasaran pada minit ke-62.


Modric kemudian menghulurkan bola daripada sepakan sudut untuk ditanduk masuk Ivan Perisic pada minit-77. Jaringan itu juga meletakkan Perisic selaku pemain Croatia paling banyak menjaringkan gol dalam kejohanan utama (sembilan gol).


Keputusan itu bermakna Croatia layak ke pusingan 16 selaku naib juara Kumpulan D manakala Scotland pula terpaksa akur kempen pertama dalam kejohanan utama mereka sejak 1998 berakhir awal.


Seterusnya, Croatia akan bertemu naib juara Kumpulan E, sama ada Sweden, Slovakia, Sepanyol atau Poland dalam, pusingan 16.


- PN Online