• newsatmy

Euro 2020: Eriksen dibenarkan keluar hospital selepas pembedahan jantung

19 Jun 2021

CHRISTIAN Eriksen telah dibenarkan keluar hospital selepas selamat menjalani pembedahan jantung dengan pemain tengah Denmark itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada dunia bola sepak atas sokongan luar biasa yang diterimanya.


Eriksen terpaksa diberikan bantuan kecemasan (CPR) selepas mengalami serangan jantung dalam babak pertama perlawanan Denmark menentang Finland hujung minggu lalu.


Dia kemudian disahkan perlu menjalani pembedahan bagi memasukkan implan untuk menstabilkan denyutan jantungnya dan Persatuan Bolasepak Denmark (DBU) mengesahkan awal pagi tadi bahawa pembedahan di berjalan dengan lancar.


"Christian Eriksen telah selamat menjalani pembedahannya dan dibenarkan untuk keluar daripada Rigshospitalet hari ini," kata kenyataan ringkas yang dikeluarkan DBU.


"Hari ini, dia juga melawat skuad kebangsaan di Helsingor dan daripada itu, dia akan pulang ke rumahnya untuk bersama keluarganya."


Eriksen menerima limpahan kata-kata semangat daripada peminat bola sepak di seluruh dunia susulan insiden di Copenhagen itu dan perlawanan turut dihentikan seketika pada minit ke-10 sewaktu Denmark tewas 1-2 kepada Belgium, Rabu lalu sebagai tanda sokongan buat Eriksen.


"Terima kasih di atas ucapan yang melimpah ruah -- ia amat luar biasa untuk melihat dan berasakannya," kata Eriksen.


"Pembedahan perjalan dengan lancar dan saya juga berasa amat baik dalam keadaan ini. Amat hebat untuk berjumpa pemain ini lagi selepas perlawanan hebat yang mereka pamerkan semalam.


"Saya perlu katakan yang saya akan menyokong mereka ketika menentang Russia, Isnin ini," katanya.


Selepas tewas dua perlawanan pertama, Dermark perlu menewaskan Russia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B untuk menghidupkan peluang mereka ke pusingan 16 Euro 2020.