• newsatmy

Euro 2020: Gol sendiri Hummels jadi pemisah Perancis-Jerman

16 Jun 2021

PERANCIS 1 JERMAN 0


Penampilan semula Mats Hummels bersama skuad kebangsaan Jerman berakhir dengan igauan ngeri apabila gol sendiri pertahanan itu membolehkan Perancis memperoleh kemenangan pertama dalam Euro 2020 di Munich awal pagi tadi.


Hummels, yang menjaringkan gol kemenangan ketika Jerman menyingkirkan Perancis dalam Piala Dunia 2014, tidak pernah mewakili negaranya sejak 2018 tetapi penampilan semulanya kali ini ibarat badi apabila dia terjaringkan gol tunggal perlawanan ke gawang sendiri pada minit ke-20 pertemuan Kumpulan F itu.


Pasukan kendalian Joachim Low itu kelihatan tidak dapat mengekang aksi menyerang Perancis dan bernasib baik apabila kesilapan Antonio Rudiger gagal dimanfaatkan Paul Pogba.


Kylian Mbappe dan Karim Benzema, kedua-duanya menemui sasaran tetapi jaringan mereka dibatalkan kerana dikesan berada di kedudukan ofsaid tetapi skuad Les Bleus -- yang turut menggegarkan tiang gol lawan menerusi percubaan Adrien Rabiot -- meneruskan rekod cemerlang mereka untuk tidak pernah tewas dalam perlawanan pembukaan Euro sepanjang sembilan edisi.


Seterusnya, Perancis akan berdepan Hungary di Budapest manakala Jerman pula akan menghadapi juara bertahan, Portugal, di Munich hujung minggu ini.