• newsatmy

Euro 2020: Kegagalan Morata buat Sepanyol disingkir Itali

7 Julai 2021

ITALI 1 SEPANYOL 1


(Itali ke final selepas menang penentuan penalti 4-2)


Nasib Alvaro Morata berubah sekelip mata di Stadium Wembley di mana dia menyelamatkan Sepanyol dengan membawa perlawanan ke masa tambahan sebelum gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus akur membenarkan Itali mara ke final Euro 2020 awal pagi tadi.


Pemain yang sedang dipinjam Juventus itu tidak tersenarai dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam kejohanan itu tetapi memberikan impak dari bangku pemain simpanan dengan memadamkan jaringan pembukaan Federico Chiesa menerusi gol penyamaannya pada 10 minit terakhir untuk aksi 90 minit berakhir 1-1.


Kedua-dua pasukan gagal memperoleh gol kemenangan dalam masa tambahan sebagai gambaran bahawa skrip kali ini berbeza dengan final Euro 2012, di mana Sepanyol membelasah Itali 4-0.


Sepakan Morata dalam penentuan penalti diselamatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, sebelum Jorginho membawa Itali ke final dengan kemenangan 4-2 dalam penentuan itu, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 33 perlawanan berturut-turut.


Itali seterusnya akan menantikan pemenang di antara England dan Denmark dalam satu lagi perlawanan separuh akhir bagi penentuan kejuaraan di venue sama.


- Astro Awani