top of page
  • newsatmy

Euro 2020: Lewandowski bantu Poland ikat Sepanyol

20 Jun 2021

SEPANYOL 1 POLAND 1


Robert Lewandowski muncul penyelamat Poland apabila menjaringkan gol penyamaan dalam separuh masa kedua untuk mengikat Sepanyol 1-1 dalam perlawanan Kumpulan E, Euro 2020 di Stadium La Cartuja awal pagi tadi.


Alvaro Morata menutup mulut pengkritiknya apabila membuka jaringan buat Sepanyol dalam pertemuan di Seville itu selepas dikritik hebat gara-gara aksi hambarnya ketika seri menentang Sweden dalam perlawanan pertama Selasa lalu.


Morata meletakkan La Roja di depan pada minit ke-25 selepas memanfaatkan sepakan lemah Gerard Moreno bagi melakukan penyudah jarak dekat dan penyerang itu kelihatan meraikan jaringan itu bersama ketua jurulatihnya, Luis Enrique, selepas pengesahan video bantuan pengadil (VAR).


Kekalahan dalam perlawanan itu mungkin memusnahkan impian Poland untuk ke pusingan 16 tetapi penjaring terbanyak sepanjang zaman dan ketua pasukan mereka, Lewandowski, menyamakan kedudukan menerusi tandukannya sebaik sembilan minit babak kedua bersambung.


Moreno kemudian mensia-siakan peluang kemenangan buat La Roja apabila sepakan penaltinya -- selepas Jakub Moders menjatuhkan Morata -- sekadar menggegarkan tiang gol dan sepakan susulan Morata juga tersasar jauh.


Seterusnya, Sepanyol akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Slovakia manakala Poland pula bertemu Sweden awal pagi Khamis ini.


bottom of page