• newsatmy

Euro 2020: Zlatan Ibrahimovic terlepas aksi kerana kecederaan

16 Mei 2021

PENYERANG Sweden, Zlatan Ibrahimovic disahkan terlepas aksi Euro 2020, susulan kecederaan.


Perkara berkenaan disahkan menerusi laman Twitter rasmi pasukan kebangsaan negara itu.


Ibrahimovic yang sudah mengumumkan persaraan dari aksi antarabangsa, dipanggil semula untuk latihan skuad kebangsaan Mac lalu.


Bagaimanapun, kecederaan lama menyekatnya daripada beraksi.


Kecederaan lutut itu dialami sejak beraksi dengan kelab AC Milan 9 Mei lalu.

Ibrahimovic telah menjaringkan 62 gol untuk Sweden dan merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak setakat ini.


Beliau membuat kemunculan semula untuk aksi antarabangsa selepas lima tahun, apabila membantu Sweden menewaskan Georgia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 pada Mac lalu.


Kejohanan Euro dijadual berlangsung 11 Jun ke 11 Julai, tertunda setahun gara-gara pandemik COVID-19.


Sementara itu, ketua jurulatihnya Janne Andersson berkata, Ibrahimovic tidak akan tampil beraksi bersama Sweden dalam saingan Euro 2020 setelah Milan mengesahkan rawatannya akan mengambil masa enam minggu.


"Saya bercakap dengan Ibrahimovic hari ini, sayangnya, kecederaannya akan menghalang penyertaannya dalam Kejuaraan Eropah musim panas ini.


"Sudah tentu, ini amat menyedihkan, terutama bagi Ibrahimovic, tetapi bagi kami juga. Saya harap dia kembali ke lapangan secepat mungkin," kata Andersson.


-Astro Awani