top of page
  • newsatmy

Everton menghampiri pentas Liga Juara-Juara.

2 Mac 2021

LIVERPOOL: Peluang Everton untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat teratas semakin cerah selepas rembatan Richarlison memberikan kemenangan 1-0 ke atas Southampton.


Skuad kendalian Carlo Ancelotti menang buat pertama kali dalam enam perlawanan liga di laman sendiri hasil jaringan awal Richarlison itu.


Kali terakhir Everton menang di Goodison Park ialah ketika menentang Arsenal sebelum Krismas tahun lalu, tetapi mereka menamatkan deretan tiga kekalahan berturut-turut di laman sendiri untuk merapatkan jurang dengan penghuni tangga keempat West Ham kepada hanya dua mata.


The Toffees kini berada di tangga ketujuh dan bermain kurang satu perlawanan berbanding West Ham, Liverpool dan Chelsea, yang menjadi penghalang untuk tiket ke kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.


Selepas menewaskan Liverpool 2-0 untuk kemenangan pertama ke atas tetangga Merseyside di Anfield sejak tahun 1999, Everton berpeluang cerah menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.


"Ia minggu yang baik. Saya amat menghargai kerja berpasukan. Kami amat fokus dalam bertahan dan mempunyai gandingan yang baik di barisan hadapan.


"Persembahan amat baik dan kami berhak untuk menang. Untuk bersaing merebut tiket Eropah, kami perlu lebih baik di laman sendiri.


"Persembahan begini boleh membantu kami. Impian kami adalah menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik musim ini. Kami semakin hampir," kata Ancelotti.


Selepas mendahului liga tertinggi Inggeris itu buat pertama kali sejak tahun 1988 pada November, prestasi Southampton merosot teruk dan meletakkan mereka hanya tujuh mata di atas zon penyingkiran.


Southampton belum menang dalam sembilan perlawanan liga terakhir mereka, tewas lapan kali sejak kemenangan ke atas Liverpool pada Disember.


"30 mata tidak mencukupi untuk kekal dalam liga. Kami memerlukan mata," kata pengendali Southampton Ralph Hasenhuttl. - AFP


-Berita Harian

bottom of page