• Arissa Azman

F1: Hamilton nafi 'berang' dengan pasukan Mercedes

12 Oktober 2021

LEWIS Hamilton menafikan 'berang' dengan Mercedes atas keputusan untuk membawanya masuk ke pit lewat ketika Grand Prix Turki Ahad lalu.


Juara dunia tujuh kali itu bangkit daripada petak ke-11 hingga ketiga ketika dia diminta masuk ke pit untuk membuat pertukaran tayar di atas permukaan yang basah.


Hamilton kelihatan bakal menamatkan perlumbaan dengan tayar sama tetapi di pusingan 51 mengikut perancangan pasukan dan jatuh ke tempat kelima, di mana dia menamatkan perlawanan di luar podium.


Dia secara terang-terangan meluahkan kekecewaan ketika perlumbaan sedang berlangsung, menerusi radio pasukan di berkata "Mengapa anda melepaskan tempat itu? Kita tidak seharusnya masuk ke pit."


Bagaimanapun, Hamilton berasakan perselisihan yang telah dilontarkan itu tidak bersifat peribadi malah dia menerima pengajaran baru menerusi perlumbaan tersebut.


"Saya melihat apa yang ditulis media, di mana mereka memperbesarkan insiden ketika saya memasuki pit," katanya.


"Ia tidak benar untuk mengatakan saya berang dengan pasukan saya.


"Sebagai satu pasukan, kami bekerja keras untuk membina strategi terbaik tetapi ketika perlumbaan berlangsung, anda harus membuat keputusan dalam masa yang suntuk, terdapat banyak faktor sentiasa berubah.


"Kami mengambil risiko untuk terus berlumba dengan harapan litar akan kekal kering tetapi ia tidak berhasil. Saya mengambil risiko tersebut dan ia tidak menjadi buat kami.


"Pada akhirnya, kami terpaksa memasuki pit dan ia adalah perkara paling selamat untuk dilakukan. Kami mempelajari daripada kesilapan ini. Kami menang dan tewas sebagai satu pasukan.


"Jangan berharap saya akan sentiasa sopan-santun dan tenang bercakap menerusi radio pasukan ketika sedang berlumba. Kami semua bersemangat tinggi ketika itu dan ia boleh berlaku kepada mana-mana pelumba."