top of page
  • admin

FAM gantung Zulkarnain Zakaria serta merta mengadili mana-mana aksi Liga Malaysia musim ini.


KUALA LUMPUR, 19 Mac - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta terhadap pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria daripada mengadili mana-mana aksi Liga Malaysia musim ini. Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden Datuk S. Sivasundaram, selepas Zulkarnain terkhilaf dalam membuat keputusannya ketika aksi Liga Super di antara Sabah FC dan Penang FC pada Jumaat lepas. Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, selepas penelitian klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan, pengadil itu terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit tambahan 90+9. “Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil, agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik. “Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil, yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan akan datang,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad. Pada aksi Liga Super Jumaat lalu, perlawanan babitkan Sabah dan Penang berpihak kepada tuan rumah dengan kemenangan 5-2. Tindakan pengadil yang lebih dikenali dengan panggilan abang botak itu mencetuskan persoalan. Sekali gus menjadi tumpuan apabila memberi lima sepakan penalti dalam aksi itu, selain satu sepakan penalti yang diberikan ketika terjahan berlaku di luar kotak penalti. Menerusi keputusan itu, Zulkarnain muncul individu pertama digantung dalam kancah Liga Malaysia musim ini.


bottom of page