• newsatmy

FAM terima peletakan jawatan Saifuddin

24 ogos

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima keputusan Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar untuk meninggalkan badan induk bola sepak negara itu.

FAM dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kedua bagi penggal 2021-2025 yang diadakan pada Selasa.


"FAM merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada beliau atas khidmat cemerlang sepanjang bersama FAM.

"Ia termasuk penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jun lepas yang melayakkan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023," menurut kenyataan itu.


Terdahulu, Saifuddin mengesahkan sudah mengemukakan surat peletakan jawatannya pada minggu lepas, dengan sebab utama beliau mengambil keputusan itu adalah untuk meneruskan kerjaya di peringkat antarabangsa


Saifuddin mula menyertai FAM pada 1993 hingga 2004 sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM, selain pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009.


Bekas Perunding Teknikal Liga Profesional Oman itu, dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada penghujung Ogos tahun lepas susulan kekosongan ditinggalkan Stuart Ramalingam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL).


Mohd Saifuddin juga merupakan komisioner perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).


Sinar Harian