top of page
  • newsatmy

FFM31 dalam norma baharu pada 10 Disember - Zakaria

2 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) pada 10 Dis ini akan berlangsung dalam konsep pembudayaan norma baharu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.


Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid berkata FFM31 yang ditangguhkan beberapa kali sebelum ini akibat COVID-19 bakal diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


Beliau berkata sebanyak 55 filem merangkumi filem Bahasa Malaysia dengan 32 penyertaan, Mandarin (lapan), Tamil (11) dan lain-lain (empat) bakal berentap merebut 28 kategori yang dipertandingkan untuk FFM edisi kali ini dengan tema 'Citra Sinema'.


"Sejumlah 28 anugerah secara ekslusifnya akan diberikan pada 10 Dis ini. Di edisi FFM sebelum ini, kategori-kategori teknikal secara kebiasaannya diberikan pada malam perasmian.


"Perubahan ini adalah wajar bagi menghargai setiap usaha karyawan di hadapan dan belakang tabir yang berjuang mencapai kualiti kerja yang terbaik," katanya pada sidang media FFM31, di sini, semalam.


Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim dan Presiden Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.


Zakaria berkata senarai pemenang pada tahun ini hanya akan diumumkan pada malam anugerah bagi memberikan kelainan dan debaran menantikan keputusan untuk semua kategori yang dipertandingkan.


Menurutnya, pelbagai program sisipan turut disediakan bagi meraikan FFM antaranya program tayangan dan apresiasi filem yang turut diadakan di beberapa lokasi pawagam termasuk Sabah dan Sarawak.


Zakaria berkata pemenang pada segmen malam anugerah bukan sahaja menerima trofi kemenangan yang disediakan pihak Finas, malah hadiah wang tunai daripada pihak penaja bagi memberi sokongan terhadap FFM31.


"Bagi pemenang kategori Filem Terbaik akan memenangi trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000 dengan mematuhi garis panduan sedia ada berkuat kuasa bagi tatacara permohonan DKD," katanya.




-- BERNAMA

bottom of page