top of page
  • Farah

Final Piala FA: TFC tidak tertekan menentang JDT, yakin mampu lakar kejutan


KUALA LUMPUR, 10 Sept - Selepas dua tahun menyepi, aksi final Piala FA 2022 di antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini kembali menghangatkan arena bola sepak tanah air. Sesuai dengan status gergasi Liga Malaysia ketika ini, peluang tampak cerah bagi JDT merangkul gelaran kedua selepas meraih kejuaraan pertama pada 2016. Namun, TFC juga tidak kurang hebatnya. Di bawah kendalian Nafuzi Zain, skuad Penyu berjaya muncul antara pencabar baharu dalam bola sepak Malaysia, sekali gus berpotensi membuatkan Harimau Selatan pulang hampa. Pengendali TFC, Nafuzi Zain percaya pasukannya yang turun selaku 'underdog', tidak akan berasa tertekan, sebaliknya mampu melakar kejutan sekiranya mengulangi aksi seperti ketika menewaskan JDT di laman sendiri pada saingan Liga Super musim lalu. "Sebab kita tahu (menentang) JDT ini bukan senanglah, dari segi kualiti, dari semua segi dia lebih macam itu, cuma kita mengharapkan kita punya prestasi terbaik pasukan, hari itu kita bernasib baik boleh menang macam itu," kata beliau pada sidang media praperlawanan melibatkan kedua-dua pasukan.


Sementara itu, ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata pasukannya tidak akan memandang rendah kemampuan TFC biarpun pernah menewaskan pasukan berkenaan di pentas Liga Super. "Saya harap perlawanan itu akan menyebelahi kami. Kami gembira dengan prestasi kami dan akan meletakkan semangat yang tinggi dalam permainan selain tidak akan memberi sebarang ruang untuk mereka menyerang," katanya. Jurulatih dari Venezuela yang baharu membimbing JDT sejak Julai lepas itu berkata rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super setakat ini, bukan satu alasan buat pasukannya untuk tidak mempamerkan aksi terbaik. "Kami tidak memikirkan masa lalu dan kami menghormati Terengganu sebagai lawan kami. Kami tahu tentang pasukan ini sejak sekian lama, jadi cara untuk memenangi perlawanan ini ialah melakukan tekanan tinggi dan mengekalkan penguasaan bola," katanya.

bottom of page