top of page
  • Farah

Forestieri hadiahkan kejayaan JDT kepada Sanus



PEMAIN import Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri menghadiahkan kejayaan menjulang Piala FA 2022 kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.


Dalam satu hantaran di Instagram story miliknya, bekas penyerang Udinese itu turut mengucapkan terima kasih kepada Sanusi atas 'sokongan' yang diberikan kepada pasukan Harimau Selatan.


“Ini untuk sahabat, Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan ada, nikmati piala ini," katanya.

Dalam pada itu Forestieri ketika ditemui media selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, mengesahkan hantaran tersebut memang ingin ditujukan kepada Menteri Besar Kedah itu.


“Saya hormati keputusan semua orang untuk menyokong mana-mana kelab yang mereka sukai. Bagaimanapun, sekiranya anda menyokong sesuatu pasukan itu, anda hanya perlu kekal dengan menyokong pasukan tersebut.

“Anda tidak perlu untuk menyuruh semua orang menyokong Terengganu kerana anda sendiri menyokongnya. Bagi saya tindakan ini sedikit menyakitkan hati.

“Bagaimanapun, perkara ini bagus kerana apabila saya masuk ke padang, saya mahu menang (Piala FA) hanya untuk dia (Sanusi). Jadi piala ini untuk dia,” ujarnya.


Sebelum ini, Muhammad Sanusi menyatakan sokongannya kepada Terengganu FC bagi perlawanan akhir Piala FA dengan memakai jersi pasukan penyu itu.


Jelas beliau, hanya orang Johor sahaja yang akan menyokong pasukan dari selatan tanah air itu manakala mereka yang berada di negeri lain akan memihak kepada Terengganu.

bottom of page