• Arissa Azman

Gangguan Seksual: Perlu penjelasan semua pihak sebelum tindakan lanjut

27 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat dalam aduan gangguan seksual yang didedahkan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.


Menyatakan demikian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Faizal berkata isu gangguan seksual membabitkan atlet dan pegawai serta jurulatih amat serius dan perlu ditangani dengan tegas.


“Seperti saya nyatakan dalam sidang media semalam bahawa kita perlu mendapatkan penjelasan yang lebih daripada Datuk Pandelela dan mereka yang terlibat dalam perkara melibatkan jenaka lucah dan sebagainya, sebelum tindakan sewajarnya diambil, itu yang saya sebut dalam sidang media semalam.


“Saya mesti pertahankan apa-apa kejadian buruk yang berlaku kepada Datuk Pandelela dan mana-mana atlet yang terkesan akibat perkara ini kerana kita perlu pertahankan atlet-atlet yang mengharumkan nama negara,” katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai pendiriannya dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung gangguan seksual melibatkan atlet, serta cadangan penubuhan jawatankuasa tertinggi KBS bagi melihat aduan dan kes-kes gangguan seksual.


Dalam pada itu, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 21(1), dan bertanya sama ada Ahmad Faizal selaku menteri sedar bahawa tiada had masa yang melibatkan sebarang aduan atau masalah jenayah.


“Apa yang dibangkitkan menteri ini berkenaan isu Pandelela, sebenarnya menteri ini tidak layak jadi menteri KBS kerana beliau tidak beri sokongan pada mereka atau apa yang disebut Pandelela.


“Saya nak tanya adakah menteri tahu bahawa tiada had masa melibatkan aduan masalah jenayah, dan kalau aduan itu walaupun lama ia patut diambil tindakan?,” soalnya.


Peraturan Mesyuarat 21 (1) menyatakan pertanyaan-pertanyaan boleh diarahkan kepada menteri-menteri berkenaan dengan, hal-hal yang dalam urusan jawatan mereka atau rang undang-undang atau usul atau lain-lain perkara orang ramai yang berkaitan dengan urusan Majlis Mesyuarat yang dalam tanggungan menteri itu.


Ahmad Faizal sekali lagi menegaskan beliau perlu mendengar dan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang isu gangguan seksual sebelum membuat tindakan lanjut berhubung perkara itu.


Sementara itu, beliau turut meminta pihak Majlis Sukan Negara untuk menitikberatkan ‘gender training’ dalam semua latihan sukan.