• Arissa

Gerak kerja SiberKASA berada pada landasan tepat – Saifuddin

12 Ogos 2021

PUTRAJAYA: Gerak kerja Program Pemerkasaan Keselamatan Siber (SiberKASA) berada pada landasan tepat dalam usaha melestarikan bidang keselamatan siber negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.


Beliau yang berpuas hati dengan perkembangan itu berkata SiberKASA yang dilancarkan pada 23 Mac lepas dijayakan dengan 35 jenis perkhidmatan berkaitan keselamatan siber yang diwujudkan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM).

Antara perkhidmatan itu ialah garis panduan industri keselamatan siber, garis panduan perkhidmatan pengkomputeran awan, garis panduan Algoritma Kriptografi Sedia Ada (AKSA), aplikasi CamMuka 2.0 serta Mobile Assessment Security Scanning Application (MASSA).


Beliau berkata SiberKASA merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk membangun, memperkasa, mengukuh dan melestarikan prasarana serta ekosistem keselamatan siber negara agar sentiasa mapan, terpelihara dan berdaya tahan.


“SiberKASA menjadi manifestasi kerajaan dalam menangani ancaman serta serangan siber yang semakin kompleks dan sofistikated,” katanya pada sidang media selepas program Turun Padang Secara Maya bersama CSM hari ini.


Saifuddin berkata inisiatif SiberKASA juga adalah selari dengan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 dan Blue Print (Rangka Tindakan) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).


Bagi memperkasakan agenda keselamatan siber, beliau mahu CSM mempertingkatkan kempen dan program kesedaran berkaitan ancaman siber selain mendidik masyarakat untuk menggunakan media sosial secara berhemah.


“Saya sendiri sering mengingatkan masyarakat untuk berhati-hati menggunakan media sosial khususnya dalam berkongsi pendapat agar sentiasa berlandaskan kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan selain mengkritik secara beradab,” katanya.


Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan meneliti Dasar Kriptografi Negara yang telah diluluskan Kabinet pada 2013 bagi mempercepatkan proses pelancaran dasar berkenaan.


“Kita (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) akan menjadi agensi pelaksana dalam hal ini. Kita akan rujuk kepada Kabinet mengenai perkembangan dasar ini kerana bagi saya ia adalah penting dari segi keselamatan siber,” katanya.


Dasar Kriptografi Negara merupakan sebahagian daripada Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) yang menggariskan kaedah serta pendekatan strategik mengenai penggunaan kriptografi termasuk aspek penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi maklumat agensi kerajaan.



--PN Online