top of page
  • newsatmy

Gesa hapus duti hiburan

22 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Pembikin filem menyambut baik kesediaan kerajaan mempertimbangkan rayuan pengecualian duti hiburan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada industri pawagam.


Malah, pengecualian duti hiburan dikenakan sebanyak 25 peratus boleh membantu mengekang kesan ekonomi selepas sekian lama industri pawagam dan perfileman lumpuh akibat pandemik COVID-19.


Seperti diketahui, pawagam lebih banyak ditutup berbanding beroperasi bagi mengekang penularan pandemik di kawasan tumpuan ramai.

Bukan sahaja pembikin filem, malah pengusaha pawagam juga mengalami kerugian beratus-ratus juta, sejak tahun lalu.


Pengasas empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam berharap duti hiburan berkenaan dihapuskan.

"Di luar negara, cukai atau duti hiburan dikenakan pada kadar rendah di bawah paras 10 peratus. Contohnya, Singapura, Indonesia dan banyak lagi.


"Bagaimanapun, duti hiburan di negara ini mencecah ke 25 peratus. Saya difahamkan, Malaysia paling tertinggi dikenakan cukai berkenaan.

"Jika dikecualikan duti hiburan dalam tempoh tertentu atau mungkin selama-lamanya juga baik. Atau, cukai boleh dikurangkan jumlah peratus apabila situasi pandemik beransur pulih.


"Pengusaha pawagam menanggung kerugian teruk apabila tidak dapat beroperasi, sejak tahun lalu. Daripada ratusan pawagam di seluruh negara kini hanya tinggal puluhan sahaja yang masih bernafas, itu pun nyawa-nyawa ikan. Begitu juga perkara yang sama dirasai pembikin filem apabila filem berskala mega yang menelan belanja tinggi tidak dapat ditayangkan di pawagam," katanya kepada BH Online.


Produser Skop Productions, Datuk Yusof Haslam harap duti hiburan dapat dihapuskan.


Yusof berkata, dua filemnya, Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 dengan usaha sama Astro Shaw juga terpaksa ditangguhkan tayangan, sejak tahun lalu.


"Kami sudah melabur sebanyak RM12 juga untuk dua filem ini. Nak tak nak, saya dan Asto Shaw kena bersabar untuk menanti tarikh tayangan yang bersesuaian kerana tidak mahu mengalami kerugian besar," katanya.

Mengikut rekod, pengusaha pawagam mengalami kemerosotan pendapatan sehingga 90 peratus dengan kerugian terkumpul dianggarkan lebih RM400 juta dalam tempoh 10 bulan ini. Manakala, kutipan filem pula menunjukkan angka yang menjunam sehingga 91.3 peratus, tahun lalu.


Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Infinitus Entertainment Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai menyifatkan keputusan kerajaan mempertimbangkan rayuan pengecualian duti hiburan sebagai langkah menyelamatkan pembikin filem dan industri pawagam daripada gulung tikar.


"Sudah tentu ia keputusan yang sudah lama dinanti produser filem dan pawagam. Duti hiburan sebanyak 25 peratus sangat tinggi pada saat pandemik ini.


"Pawagam kini juga beroperasi dalam keterbatasan seperti kapasiti penonton kena ikut prosedur operasi standard (SOP), jadi potensi mencapai kutipan pecah panggung mungkin berkurangan hingga 50 peratus.


"Jadi, ia berita baik jika kerajaan mempertimbangkan pengecualian duti hiburan. Ini juga mendorong produser mengedarkan filem ke pawagam, bukan memilih platform alternatif," katanya.


Penerbit Eksekutif, Infinitus Entertainment Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai menyifatkan keputusan kerajaan mempertimbangkan rayuan pengecualian duti hiburan sebagai langkah menyelamatkan industri perfileman.


Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan kerajaan sedia menimbang rayuan pengecualian duti hiburan yang dikenakan PBT kepada industri pawagam.


Ia usaha berterusan bagi membantu industri pawagam tidak gulung tikar apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia mendengar rayuan yang disuarakan.


Saifuddin berkata, kerajaan memahami situasi dihadapi untuk meneruskan survival dan meminta pengusaha pawagam menghantar permohonan rasmi berhubung pengecualian duti hiburan.


"Aduan pengecualian cukai sudah lama saya dengar. Cuma, perkara ini semakin hangat dibincangkan sejak COVID-19. Setakat ini, belum ada memorandum rasmi. Namun, perkara ini sudah dalam pengetahuan saya dan dalam kajian.


"Saya mengalu-alukan jika ada permohonan rasmi dibuat. Kami sedia berbincang kerana musim COVID-19 menyebabkan ramai yang menderita. Mana yang boleh dibantu, kita bantu," katanya selepas memantau

pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Golden Screen Cinema (GSC), Midvalley Megamall Kuala Lumpur, kelmarin.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.


Saifuddin turut diberi taklimat ringkas mengenai SOP rangkaian pawagam dan berpuas hati dengan pelaksanaannya.


"Saya berpuas hati terutama aspek kebersihan dan penjarakan fizikal. Dengan teknologi yang ada, penonton boleh membeli tiket melalui dua cara menerusi dalam talian dan mesin kiosk, bukannya melalui kaunter bersemuka.


"Malah, penonton boleh memesan makanan menggunakan sistem, sekali gus mengurangkan risiko bersentuhan. Justeru, saya yakin situasi di pawagam selamat. Saya harap orang ramai tidak perlu takut untuk menonton filem di pawagam.


"Selain itu, kami juga akan meningkatkan kerjasama, berkongsi maklumat dengan sektor terbabit untuk melaporkan perkara tidak mengikuti SOP," tegasnya.


Mengenai wujudnya perasaan kurang senang sesetengah pihak apabila kerajaan memberi kelonggaran kepada industri kreatif, Saifuddin menjelaskan, keputusan dibuat kerana mahu memberi peluang pekerjaan kepada warga penggiat seni.


"Kira-kira 45,000 penggiat industri kreatif membabitkan bidang nyanyian, drama, filem dan kru penerbitan terkesan sejak pandemi COVID-19. Apabila tidak boleh melakukan penggambaran, tiada persembahan terbuka dan pawagam ditutup, pendapatan mereka terjejas.


"Kami membenarkan industri kreatif kembali beroperasi kerana mahu memberi peluang pekerjaan. Ini bukannya semata-mata untuk berhibur.


Lagipun, setakat hari ini, industri kreatif tidak termasuk dalam sektor menyumbang kepada wujudnya kluster COVID-19 berbanding sektor utama lain. Kita harap rekod ini dapat dikekalkan," tambah Saifuddin.

-BH Online

bottom of page