top of page
  • admin

Gimnas atlet lelaki optimis raih empat emas di Kemboja


KUALA LUMPUR, 15 Mac - Kem Gimnastik negara optimis mampu mengulangi pencapaian 4 pingat emas yang diraih pada Sukan SEA 2021 di Hanoi tahun lalu dalam temasya sama tahun ini.


Jurulatihnya, Ng Shu Liang, percaya biarpun edisi kali ini kem gimnastik negara tidak menghantar wakil wanita, sasaran pingat emas masih mampu diterjemahkan oleh skuad lelaki.


Shu Liang yakin Muhammad Sharul yang juga finalis disiplin melombol Sukan Komanwel Brimingham 2022 berpotensi menyumbang emas berdasarkan prestasi dan pengalaman dimiliki gimnas itu.


Tambahnya, selain Muhammad Sharul, seorang lagi gimnas Luqman Al Hafiz Zulfa juga berpotensi memenangi pingat meskipun kedua-dua anak buahnya bakal berdepan saingan sengit daripada Yulo.


"Atlet paling kuat dan paling berpeluang (emas) ialah Muhammad Sharul dalam melombol. Dia finalis Sukan Komanwel tahun lepas, finalis FIG Apparatus World Cup di Cottbus, Jerman (bulan lepas) dan dapat gangsa (kekuda berpelana) pada Sukan SEA lepas, jadi dialah yang ada peluang paling tinggi.


"Atlet lain seperti Luqman pun baik kerana boleh main (beraksi) pelbagai disiplin... tetapi kita ada lawan sangat kuat (Yulo) dari Filipina. Baru-baru ini dalam FIG Apparatus World Cup di Baku, dia (Yulo) menang dua emas... dia ibarat tiga gimnas (artistik) terbaik dunia," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Ketua Kontinjen, Datuk Mohd Nasir Ali ke venue latihan skuad gimnastik di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Selasa.


Skuad lelaki negara yang bakal dipertaruhkan ialah Muhammad Sharul Aimy, Ng Chun Chen, Lukman Al Hafiz, Ally Hamuda, Shakir Aiman dan Teoh Chuen Feng.


Sementara itu, bagi gimnas negara Ng Chun Chen, dia berjanji mempamer semangat juang yang tinggi biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tangan.


Ng Chun Chen sebelum ini telah membuktikan kemampuannya dengan meraih tiga emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu

bottom of page