top of page
  • newsatmy

Gobind tegur Azam Baki pandang remeh isu 'kartel' polis

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki kerana dianggap memandang remeh isu kartel polis dengan menganggapnya sebagai masalah dalaman.


Ahli Parlimen Puchong itu berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku terutama setelah Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dengan jelas mengatakan ia melibatkan rasuah.


"Ketua Polis Negara tidak hanya bercakap mengenai kewujudan sebuah ‘kartel’ di dalam pasukan polis sahaja tetapi rasuah juga. Adakah pendedahan ini juga hanya satu isu dalaman yang SPRM fikirkan dapat diselesaikan secara dalaman oleh PDRM?


"Jika begitu, adakah semua jabatan, sama ada awam atau swasta di mana kes sebegini berlaku, patut hanya melakukan siasatan dalaman sahaja?


"Jikalau begitu, mengapakah sebelum ini terdapat kes serupa yang dikendalikan secara berbeza, disiasat oleh SPRM dan kemudiannya didakwa di mahkamah? Kenapa tidak kes-kes tersebut dikendalikan secara dalaman sahaja?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tambahnya, undang-undang di negara ini jelas mengatakan rasuah dalam sektor awam atau swasta terletak di bawah bidang kuasa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan SPRM perlu menjalankan tugas mereka.


"Datuk Seri Azam Baki berkata beliau yakin bahawa isu ini dapat diselesaikan oleh pihak polis sendiri, namun itu bukanlah isunya.


"Aspek penting dalam sesuatu siasatan adalah untuk memastikan tiada unsur berat sebelah oleh pihak yang mengendalikannya. Perkara ini untuk memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat di dalam siasatan tersebut.


"Mereka yang mengendalikan siasatan seharusnya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara tersebut mahupun mempunyai sebarang hubungan dengan mereka yang akan disiasat.


"Bagaimanakah sebuah siasatan dalaman boleh memadai apabila kes ini melibatkan pihak polis itu sendiri? Sebab itulah SPRM perlu dilibatkan," ujarnya.


Azam sebelum ini dilaporkan berkata SPRM tidak berhasrat untuk campur tangan di dalam isu ‘kartel’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ianya merupakan satu masalah dalaman PDRM.


Beliau juga yakin dengan kemampuan dan kredibiliti PDRM untuk menyelesaikan isu tersebut.


- Astro Awani


bottom of page