top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Golongan OKU akan menerima kenaikan elaun harian - PM

25 Jun 2021

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU-pandu lalu yang pertama di dalam negara, semalam, bagi meninjau proses pemberian vaksin kepada komuniti orang kurang upaya (OKU).


Hadir bersama beliau ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Pengerusi OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.


PPV OKU-pandu lalu yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral ini dibuka khas untuk membantu ahli komuniti OKU menerima suntikan vaksin mengikut kesesuaian dan keadaan mereka dengan dibantu oleh sukarelawan OKU yang berpengalaman berurusan dengan komuniti OKU.


"Proses vaksinasi golongan OKU bukanlah suatu tugas yang mudah kerana sifat atau tindak balas mereka yang tentunya berlainan daripada biasa,


"Kesabaran petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV ini mendepani karenah mereka amat dihargai," ujar beliau.


Langkah menyediakan bilik bertenang atau 'calm room' yang dilengkapi permainan dan juga alunan muzik juga adalah satu inisiatif yang amat baik dalam membantu 'menenangkan' anak-anak OKU ini.


Usaha Kerajaan dengan penglibatan NGO dan juga sektor swasta ini amat diperlukan dalam memastikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat suntikan vaksin COVID-19.


"Terima kasih kepada semua petugas kesihatan, OKU Sentral sebagai pengendali, para sukarelawan OKU, Sime Darby Plantation dan Yayasan Sime Darby yang membantu menaja lokasi dan perkhidmatan logistik sepanjang program vaksinasi OKU ini dijalankan,


"Saya amat berharap agar lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan atau GLCs dan pertubuhan bukan kerajaan dapat berganding bahu serta memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk menjayakan program vaksinasi ini,


"Alhamdulillah sehingga 20 Jun 2021, sebanyak 280,904 daripada 579,150 individu OKU yang berdaftar di bawah sistem maklumat OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun mendaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19," tambah beliau lagi.


Daripada jumlah itu, sebanyak 15,914 individu telah menerima dos pertama manakala kira-kira 4,000 individu telah menerima dos kedua.


Beliau berasa amat berbangga dengan kesedaran ahli keluarga dan penjaga kepada individu OKU tentang ancaman virus COVID-19 serta menghargai sokongan mereka terhadap program imunisasi COVID-19.


Pada program ini, beliau turut mengumumkan sukarelawan OKU juga akan menikmati kenaikan kadar elaun harian kepada RM100 sehari, sebagaimana yang bakal diterima sukarelawan kesihatan bermula hujung bulan ini seperti yang telah umumkan di Pagoh, Selasa lalu.




--PN Online

bottom of page