• newsatmy

GPS mahu menang semua kerusi PRU15 - Abang Johari


KUCHING, 7 Ogos: Berbekalkan kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini berazam untuk memenangi kesemua 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada penampilan pertamanya pada pilihan raya umum.

Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jika semua yang mereka jangkakan menepati ramalan, tugas untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini boleh tercapai.


"Ini adalah pilihan raya pertama bukan seperti sebelum ini kerana GPS akan berdiri sendiri. Yang pertama dulu kita di bawah BN (Barisan Nasional). Ini adalah pilihan raya pertama kami berdiri sendiri (tanpa membuat pakatan dengan parti lain)," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau yang merupakan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.


PBB ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen.

Tiga lagi parti komponen GPS ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memegang dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan satu kerusi.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata beberapa penyandang kerusi daripada PBB telah meluahkan hasrat mereka untuk tidak dicalonkan lagi pada plihan raya umum akan datang bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda mengambil alih tugas mereka.

"Saya akan memberitahu anda kemudian siapa mereka. Bilakah (PRU-15), saya sendiri tidak tahu tapi sudah ada hasrat, namun saya tidak mahu mendedahkannya sekarang. Saya ucap terima kasihlah (kepada pemimpin yang bersedia mengundur diri).

"Dalam PBB, kita ada budaya iaitu mereka (pemimpin) mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada orang muda," katanya.


Beliau menambah meskipun perubahan itu, asas perjuangan GPS sejak meninggalkan BN ialah mengembalikan semula hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

-- BERNAMA