top of page
  • admin

Graduan PhD sains semula jadi, matematik catat peratusan dapat kerja terendah


KUALA LUMPUR 27 mac: Graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang sains semula jadi, matematik dan statistik mencatatkan peratusan mendapat pekerjaan terendah pada tahun lepas.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata daripada keseluruhan graduan PhD bidang berkenaan tahun lalu, cuma 28 graduan atau 19.6 peratus daripadanya yang berjaya mendapatkan pekerjaan.


Beliau berkata dua lagi bidang yang mencatatkan peratusan terendah mendapat pekerjaan ialah lulusan PhD bagi kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan iaitu 38 graduan (26.6 peratus) dan bidang perniagaan, pentadbiran dan perundangan iaitu seramai 30 graduan (21 peratus). "Kementerian melalui pusat kerjaya Institusi Pengajian Tinggi sentiasa bantu graduan ini untuk mendapat kerjaya yang sesuai... kementerian juga akan mengkaji cadangan dan inisiatif baharu yang boleh dilaksana dalam membantu graduan PhD mendapat pekerjaan bersuaian kelayakan akademik mereka," katanya.


Yusof berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan berapakah statistik graduan PhD di Malaysia dan apakah bidang paling tinggi tidak mendapat peluang pekerjaan, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.


Menurutnya berdasarkan data sistem kajian pengesahan graduan, seramai 25,014 graduan warganegara telah berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD dalam tempoh 2011 sehingga tahun lepas dengan 2022 sahaja mencatatkan 2,872 graduan.


Dalam pada itu, Yusof berkata sebanyak 967 program PhD telah berjaya mencapai status akreditasi penuh dan disenaraikan di dalam Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) setakat ini, manakala 154 program masih berstatus akreditasi sementara.


Beliau berkata ia berdasarkan penilaian MQA menerusi standard pematuhan terkini terbitan 2021, yang menjadi dokumen rujukan dalam menawarkan akreditasi pascasiswazah di Malaysia.

"Capaian akreditasi berkenaan cukup penting dalam memastikan kualiti program ijazah PhD negara adalah seiring dengan perkembangan semasa dan juga keperluan antarabangsa.

"Pembangunan standard dan semakan semula ini telah dilaksanakan dengan panel pakar akademik dan industri," katanya.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page