top of page
zaman

Gula-gula? Minyak? Duit negara adalah duit rakyat,bukan duit parti BN



KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan atau membazirkan duit rakyat dengan pemberian ‘gula-gula’ dan ‘minyak’ seperti yang dijanjikan baru-baru ini.


Pengerusi Tetap BERSATU Bahagian Alor Setar, Datuk Dr Nordin Yunus berkata beliau kecewa selepas tular di media sosial melalui keratan video ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sebuah konvensyen BN Selangor.


Katanya, dalam video itu Zahid dan Ismail didakwa menggunakan kiasan ‘gula-gula’ dan ‘minyak’ yang akan diberikan kepada ahli UMNO-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dalam ucapan tersebut Zahid menyebut ‘gula-gula’ yang dimaksudkan akan dibawa oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bendahari BN yang baru dilantik di Selangor.

“Manakala Ismail Sabri pula di dalam ucapannya menyebut ‘minyak’ akan dibawa oleh Perdana Menteri sedikit masa lagi dan percayalah dengan beliau sebagai perdana menteri.

“Rata-rata rakyat yang melihat kedua video ucapan ini mentafsir kemungkinan ‘gula-gula’ atau’minyak’ yang dimaksudkan adalah wang ringgit atau bajet kewangan yang akan diperuntukkan kepada jentera pilihanraya BN di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Nordin, pelbagai komen negatif dilemparkan di mana netizen menyatakan BN tidak tahu malu dan berselindung dengan salah guna kuasa serta sifat rakus mereka.

Katanya, ini kerana BN beranggapan dengan kemenangan di Johor dan Melaka petanda rakyat tidak lagi kisah berkenaan penyelewengan wang ringgit dan rasuah di kalangan pimpinan mereka.


Tegasnya, harus ditegaskan duit negara adalah duit rakyat yang tidak boleh disalah guna atau dibazirkan dengan cara sedemikian.


“Walaupun BN bersama PN dalam kerajaan sekarang namun kita sendiri terkejut dengan kenyataan yang dilontarkan oleh Perdana Menteri dalam konvensyen parti beliau.

“Salah satu tujuan dan matlamat penubuhan parti BERSATU sendiri adalah bagi memperkasakan agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih,beramanah dan berintegriti,” katanya.

Jelasnya, tidak mungkin BERSATU akan bersetuju dengan ucapan tersebut yang berkaitan dengan ‘gula-gula’ dan ‘minyak’ untuk ahli parti Perdana Menteri.


Beliau berharap rakyat tidak risau dan gelisah kerana hadirnya Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan di dalam kerajaan untuk semak dan imbang.

“Di mana kita tidak akan mendiamkan diri sekiranya berlaku pembaziran ke atas wang rakyat.

“Kita akan pastikan apa yang diungkapkan dalam ucapan tersebut hanya gurauan bukan kenyataan bagi ahli politik parti BN demi masa depan bangsa dan negara,” katanya.

Comments


bottom of page