top of page
  • Writer's pictureNihaba

Guna tenaga boleh baharu 31 peratus menjelang 2025-Takiyuddin

15 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menyasarkan penggunaan sebanyak 31 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2025. Menterinya, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata penggunaan TBB akan dipertingkatkan kepada 40 peratus menjelang tahun 2035 dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap penggunaan arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik.


Katanya, peningkatan penggunaan TBB adalah antara tindakan dalam Pelan Pembangunan Penjanaan 2020-2039 yang menetapkan laluan rendah karbon untuk mengurangkan pembebasan karbon dari sektor pembekalan elektrik secara berperingkat.


Menurutnya, proses itu mengambil kira keseimbangan dalam tiga elemen utama trilema tenaga, iaitu jaminan bekalan, mampu bayar dan lestari.

“Pendekatan ini membolehkan sektor bekalan elektrik melaksanakan inisiatif rendah karbon secara terancang berdasarkan keupayaan dan ketersediaan sistem serta mengambil kira kemampuan rakyat untuk membayar.

“Ini bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) bersih sifar seawal-awalnya pada 2050,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil dalam penjanaan tenaga, merangsang penjanaan TBB, mengurangkan pengeluaran karbon untuk mencapai ‘Carbon Neutral’ sebelum tahun 2050.


Takiyuddin berkata, sasaran untuk mengurangkan pembebasan karbon dari sektor pembekalan elektrik akan dicapai melalui pelaksanaan dan penambahbaikan program TBB sedia ada seperti Feed-in Tariff (FiT), Net Energy Metering (NEM), SelfConsumption (SelCo) dan New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA).


Selain itu, katanya selaras dengan sasaran untuk mengurangkan intensiti GHG dari sektor bekalan elektrik, kerajaan menetapkan bahawa tiada pembangunan loji baru arang batu pada masa akan datang.

bottom of page