top of page
  • Writer's pictureNihaba

Guru Harus Bersemangat Hadapi Perubahan

17 disember 2021

PUTRAJAYA – Guru perlu sentiasa memiliki kecintaan yang tinggi terhadap tugas dilakukan bagi memastikan mereka sentiasa bersemangat untuk menghadapi perubahan yang berlaku dalam bidang tersebut.


Penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021, Noorizan Mohammed, 65, berkata, cabaran semasa dalam bidang tersebut menuntut guru untuk sentiasa bersedia dan bersemangat bagi beradaptasi dengan keperluan semasa murid-murid di sekolah.


Beliau yang telah berkhidmat selama 34 tahun itu berkata, hal itu termasuklah melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan meningkatkan keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).


Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi yang telah bersara pada 2014 itu berkata, persediaan tersebut juga perlu merangkumi persediaan mental dalam menghadapi perubahan sikap dan psikologi murid di sekolah.

“Guru mesti ada kecintaan terhadap tugas dan mesti bersabar. Ini kerana murid sekarang dengan zaman dulu dah berlainan.

“Kalau dulu, murid takut cikgu, tetapi sekarang ini dah lain. Jadi guru perlu berani cari kaedah untuk memastikan apa yang diajar itu berkesan kepada murid,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, pada Khamis.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.


Seramai 44 guru yang menerima anugerah Hari Guru 2021 yang terbahagi kepada enam kategori iaitu Anugerah Utama, Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas.


Selain Noorizan, turut memenangi kategori utama ialah dua bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia iaitu Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Datuk Dr Amin Senin yang memperoleh Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan.


Anugerah Hari Guru pada tahun ini turut melibatkan penghargaan kepada 16 guru yang cemerlang dalam pelaksanaan PdPR di seluruh negara menerusi Anugerah Khas Guru PdPR.

Penerima Anugerah Khas Guru PdPR, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, 45, berkata, inovasi dilakukannya dengan mengajar melalui aplikasi TikTok ternyata mendapat penerimaan yang positif daripada muridnya.


Malah, beliau yang mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2, Kota Baru Bharu, Kelantan berkata, muridnya juga berjaya mencapai prestasi yang memberangsangkan apabila mencapai peratus kelulusan yang sangat tinggi.


“Murid-murid juga seronok untuk belajar dan kaedah tersebut dilihat turut meningkatkan keyakinan mereka untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris,” ujarnya.

Ahmad yang terkenal di TikTok menerusi @sir_asai dan memiliki lebih 470,000 pengikut menggunakan platform tersebut untuk menghasilkan kandungan pengajaran yang ringkas dan menarik.

bottom of page