top of page
  • newsatmy

Hafiz buang 'topi' artis

23 April 2021

KUALA LUMPUR: Realiti hidup golongan dikategorikan miskin bandar menyentap tangkai hati penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun yang aktif menjalankan kerja kebajikan membantu golongan memerlukan sejak hari pertama umat Islam menyambut Ramadan.


Emosi Hafiz terganggu menyedari ada antara insan dikunjungi tiada makanan yang hendak dijamah ketika berbuka, selain menyaksikan getir hidup pencari rezeki yang terpaksa bekerja hingga lewat malam demi menyara keluarga.


Dilantik Duta Yayasan Maghfirah, tahun lalu, tidak hairanlah, Hafiz memberi fokus 100 peratus kepada kerja amal sepanjang Ramadan, lantas membuang 'topi' artis bagi menyempurnakan tugas diamanahkan organisasi yang ditubuhkan bagi membantu golongan asnaf dan kurang berkemampuan itu.


Akui Hafiz, sejak menyertai program yayasan berkenaan, matanya terbuka terhadap hakikat wujudnya golongan miskin bandar yang hidup dalam kepayahan, di sebalik hiruk-pikuk kota kosmopolitan.


Hafiz memberitahu, kebanyakan pertubuhan mensasarkan infaq Ramadan kepada golongan gelandangan di masjid dikunjungi.


Namun, katanya, berbeza dengan Yayasan Maghfirah, mereka menyantuni penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) terutama asnaf yang tergolong dalam kelompok miskin bandar.


"Sejak tahun lalu, saya mengikuti ahli Yayasan Maghfirah membuat agihan makanan di kawasan PPR di ibu negara.


"Peluang ini membuka mata membuka mata dan menyedarkan saya bahawa masih ramai golongan yang susah tinggal di ibu kota. Mereka hidup umpama kais pagi makan pagi. Paling menyentuh hati, ada antara mereka tiada makanan untuk dijamah ketika berbuka.


"Ada pula anak-anak yang terpaksa menjamah hidangan sama ketika bersahur dan berbuka puasa kerana ibu terpaksa keluar bekerja dan hanya pulang pada waktu malam," katanya kepada BH Online.


Hafiz menolak menyertai acara lain sepanjang bulan mulia ini agar tumpuan diberi sepenuhnya kepada projek Raikan Ramadan anjuran yayasan berkenaan.


"Bukan tidak mahu menyertai program lain tetapi saya suka pendekatan yayasan ini yang memberi tumpuan kepada penduduk PPR," katanya.


Dilantik sebagai Duta Yayasan Maghfirah sejak tahun lalu, Hafiz Hamidun memberi fokus 100 peratus kepada kerja amal sepanjang Ramadan. - Foto Hafiz Hamidun


Berkongsi pengalaman, Hafiz berkata, ada dalam kalangan penerima bantuan, dilihat kurang selesa apabila sumbangan dihulurkan.


"Namun, maklumat penerima diperoleh daripada ketua blok yang memberikan nama. Daripada situlah bantuan disalurkan kepada penduduk terbabit," katanya.


Hafiz berkata, Yayasan Maghfirah menyenaraikan penduduk di 15 PPR mendapat bantuan sepanjang Ramadan. Selain penghuni PPR, skop bantuan diperluaskan kepada penghidap HIV/AIDS, pasangan mahupun anak-anak mereka.


"Alhamdulillah, andai tahun lalu, kami hanya dapat mengedarkan pek makanan, kali ini, dengan kerjasama Pemuda ISMA iaitu sayap pemuda kepada Ikatan Muslimin Malaysia, misi menjadi lebih agresif.


"Kita menyediakan pek Ramadan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti telur, minyak masak, beras dan sebagainya. Pek Syawal pula mengandungi ketupat, rendang segera dan keperluan menyambut Aidilfitri.


"Turut diagihkan adalah kit Ramadan merangkumi pelitup muka dan cecair pembasmi kuman," katanya.


Hafiz berkata, bantuan tidak tertumpu kepada Lembah Klang, sebaliknya diagihkan ke seluruh negara.


"Kumpulan sasaran tiada pekerjaan, sekurang-kurangnya dengan adanya bantuan seperti ini, sedikit sebanyak dapatlah meringankan sedikit beban. Mereka juga perlukan sumber makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.


Hafiz berkata, melalui projek Mega Agihan Ramadan, sebanyak 300 pek Ramadan dan Syawal bernilai RM18,000 diserahkan untuk setiap PPR dengan 5,000 kotak diedarkan sepanjang bulan.


"Duit raya sebanyak RM50 turut disertakan dalam setiap Pek Syawal," katanya.


Selain itu, 6,000 Pek Iftar sudah diagihkan sejak Ramadan pertama dengan sasaran 35,000 insan kurang bernasib baik dibantu sepanjang bulan.


Antara PPR yang dikunjungi adalah Seri Pantai, Kerinchi, Kg Limau, Gasing Indah, Air Panas, Seri Semarak, Gombak Setia, Selayang Mulia, Intan Baiduri dan Sri Johor di Lembah Klang.


Sasaran penerima bantuan adalah keluarga fakir miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, asnaf, rumah perlindungan anak yatim dan pesakit HIV/AIDS.


-Berita Harian

bottom of page