top of page
  • admin

Hampir 110,000 pemandu Singapura gagal bayar saman di Johor


JOHOR BAHRU,30 Sept: Sebanyak 2.3 juta saman tertunggak dengan nilai anggaran RM340 juta (S$105 juta) direkodkan Polis Johor membabitkan pelbagai kesalahan trafik di negeri itu sejak 2014 hingga kini.


Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata daripada jumlah itu, 109,758 saman melibatkan pemandu warga Singapura.


"Setakat ini, hanya 600,000 saman sudah dijelaskan. Antara saman paling banyak adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya pada sidang media pada acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bersama Brother Motor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini (30 Sep).


Justeru, beliau menyeru semua pesalah trafik memanfaatkan program pengurangan saman Polis Johor sebanyak 50 peratus di Balai Trafik di semua ibu pejabat daerah negeri ini dari pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang bermula hari ini hingga Ahad (2 Okt).


Sementara itu, beliau berkata seorang pemandu lori yang tular dalam sebuah rakaman video kerana tindakannya membuang sampah ke dalam sungai di jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33 di Pontian, sebelum ini sudah ditahan bagi membantu siasatan.


Encik Kamarul Zaman berkata lelaki tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di sekitar bandar Pontian kira-kira 7.00 malam tadi iaitu lima jam selepas usaha mencarinya dijalankan.


"Ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.


Menurut beliau lelaki berkenaan dikenakan kompaun di bawah Rule 52 LN 166/59 manakala lori miliknya dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.


Beliau berkata, lelaki itu dipercayai mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang serta tempat pembuangan sampah dan sampah tersebut sepatutnya dibuang di tempat khas, namun dia bertindak mengambil jalan mudah.


Semalam, tular satu video sepanjang 36 saat memaparkan seorang pemandu lori satu tan memberhentikan kenderannya di atas sebuah jambatan sebelum bertindak memikul dan membuang sampah ke dalam Sungai Wak Rabun Batu 33.


Berhubung acara pelepasan Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor, Kamarul Zaman berkata ia bertujuan menyantuni, memberi nasihat dan beramah mesra dengan penunggang motosikal agar menunggang dengan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya.


"Program ini mengambil masa tiga hari melibatkan jarak sejauh 734 kilometer. Kami juga akan memberi sumbangan ikhlas kepada golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim dan fakir miskin," tambahnya.

bottom of page