• newsatmy

‘Hapus unsur rasuah dalam sektor awam’

27 Februari 2021

JOHOR BAHRU - Isu integriti dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam tidak seharusnya dipandang remeh meskipun sudah berlaku penambahbaikan bagi menolak budaya negatif itu dalam sektor awam pada masa kini.


Senator Dewan Negara yang bertanggungjawab kepada masyarakat orang asli, Datuk Isa Ab Hamid berkata, sektor awam merupakan penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, keselamatan dan pendidikan.


Jelasnya, penjawat awam menjadi tumpuan kerana mereka merupakan pemudah cara kepada pelbagai urusan rakyat seharian tidak kira di kawasan bandar mahupun di luar bandar.


“Sejak kebelakangan ini, berlaku penambahbaikan dalam sistem penyampaian sektor awam yang meletakkan budaya memerangi rasuah sebagai perkara utama dalam setiap jabatan kerajaan.


“Begitu juga dengan langkah yang dilaksanakan untuk mencegah budaya rasuah termasuk membuat pertukaran pegawai dan anggota terutama individu terlibat dalam penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).


“Namun, tindakan mencegah rasuah perlu sentiasa dipertingkat dan ditambah baik agar perlakuan rasuah di tempat kerja dan mencegah perbuatan itu dalam perkhidmatan awam dapat dilakukan dengan lebih baik dan pantas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.


Beliau berkata, penyampaian perkhidmatan awam perlu lebih efisien agar tanggapan mengenai rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihakis.


“Jika bercakap tentang sektor awam lebih-lebih lagi soal integriti penjawat awam, saya yakin jika mereka laksanakan kerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan jabatan, kerja tersebut akan selesai dalam tempoh ditetapkan.



“Maksud saya, tidaklah sampai tiga atau empat bulan hendak selesaikan sesuatu kerja sebagai contoh bagi perkara berkaitan pemilikan tanah,” katanya.


Menurut Isa, Akta Pencegahan Rasuah yang diwujudkan perlu diperkasakan dengan penguatkuasaan dan undang-undang setimpal kepada pemberi rasuah.


“Akta Pencegahan Rasuah sebenarnya telah lama wujud. Pada pandangan saya, rasuah itu sukar dikekang antara pemberi dan penerima rasuah sekiranya mereka bersubahat.


“Kita perlu kuat kuasakan undang-undang kepada pemberi rasuah, tidak adil jika hanya penerima rasuah dikenakan hukuman,” katanya. - SH


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.