top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Harap tiada kambing atau lembu lepas ayam semalam, seloroh speaker Perak

15 Disember 2021

IPOH: Speaker Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan ADUN Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang membawa ayam mentah ke persidangan Dewan Undangan Negeri Perak semalam.


Beliau turut meminta anggota keselamatan menjalankan pemeriksaan lebih teliti terhadap barangan termasuk beg dan bungkusan yang dibawa masuk ke dewan DUN.


“Saya ingin menegaskan bahawa apa yang berlaku semasa sesi perbahasan semalam tidak diulang.


“Saya harap tidak ada pihak yang mahu membawa kambing atau lembu ke persidangan hari ini,” katanya berseloroh, sebelum menyambung sidang yang memasuki hari keempat hari ini.


Pada Selasa, Muhamad Arafat mengejutkan dewan perhimpunan apabila mengeluarkan seekor ayam daripada beg plastik semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebagai membantah kenaikan harga ayam itu.


Beliau berkata, kenaikan harga ayam itu membebankan rakyat dan mendakwa tiada tindakan serius daripada pihak berkuasa.


Muhamad Arafat berkata, dia terpaksa membawa ayam itu masuk ke dalam dewan kerana tidak nampak sebarang usaha dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan termasuk mengadakan pertemuan dengan peruncit dan pengusaha untuk melihat masalah sebenar.


Tindakan itu mendapat sorakan ADUN lain dan salah seorang daripada mereka mencelah dengan berkata "letak ayam...balik buat rendang."

bottom of page