top of page
  • newsatmy

Harga Ayam, Sayur Kembali Stabil Januari Atau Februari Depan – Rosol Wahid

12 Disember 2021

BUKIT MERTAJAM, – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga barangan keperluan harian termasuk ayam dan sayur-sayuran akan kembali stabil dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ketika ini, trend harga terkini untuk barangan tersebut khususnya semakin menunjukkan tanda-tanda penurunan.


Katanya, antara faktor yang menjurus kepada penurunan harga itu termasuk cuaca di tempat pengeluaran sayur yang kembali pulih serta langkah yang diambil kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara.

Pada masa sama, ujar Rosol, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan sejak 2 Disember lalu sebagai kaedah penyelesaian jangka pendek terhadap isu kenaikan harga barangan akan tetap diteruskan sehingga Mac tahun depan walaupun harga barangan sudah kembali stabil.

“Kita merancang meneruskan pelaksanaan PJKM ini sehingga Mac tahun depan dan jika kenaikan harga barang berterusan kerana akan menyambut hari raya (awal Mei), kita akan kembali pantau keadaan ini dari semasa ke semasa.

“Apa yang penting ialah rakyat tidak terkesan (dengan kenaikan harga barangan semasa),” katanya semasa meninjau PJKM di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda,

Dalam pada itu Rosol berkata, sehingga kini, PJKM telah dilaksanakan di 15 buah kawasan Parlimen di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM423,844.


Menurut beliau, jumlah kehadiran juga memberangsangkan apabila lebih 28,000 pengunjung direkodkan di kesemua lokasi PJKM sebelum ini.

“Kita akan teruskan program ini secara berperingkat-peringkat di semua 222 buah kawasan Parlimen di seluruh negara sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat ketika ini,” katanya.

Ketika ini, terdapat seramai 2,226 pegawai penguat kuasa dan kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP diberi tanggungjawab melakukan pemantauan serta pemeriksaan lapangan dalam usaha memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang ditetapkan sebelum ini.

Sementara itu, seorang pengunjung PJKM, Mohd. Zulhilmi Abdul Rahim, 28, mengalu-alukan pelaksanaan program tersebut secara berterusan pada masa depan.

“Saya dapat tahu mengenai program ini menerusi Facebook dan terus ke sini untuk mendapatkan pelbagai barangan pada harga yang murah.


“Memang program ini sangat membantu meringankan beban kami yang hampir setiap hari berdepan masalah kenaikan harga barang,” katanya.

bottom of page