• Nihaba

Harga barang naik lagi…


Negara sedang menghadapi krisis inflasi dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan kenaikan harga makanan, keperluan asas serta kos bahan pembinaan. Sekali lagi kerajaan Persekutuan kelihatan lembab dan tidak mampu menangani krisis baru negara ini. Malah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi telah berubah-ubah pendirian dengan cuba lari daripada kenyataannya sendiri untuk bertanggungjawab sekiranya beliau tidak dapat memulihkan kenaikan harga barang keperluan asas menjelang 9 Disember.


Malaysia tidak mampu untuk gagal lagi berikutan kegagalan sebelum ini dalam menguruskan krisis berkembar kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan angka kematian yang mengerikan sebanyak 30,425, dan 2,626,879 jangkitan pada 30 November 2021. Walaupun Mahiaddin Md Yassin telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, muka yang sama yang bertanggungjawab terhadap kerajaan yang gagal tersebut masih berada di dalam Kabinet sekarang. Kini berlakunya krisis negara baharu yang menyebabkan harga barang melambung tinggi ke tahap yang tidak pernah berlaku semasa PH memerintah.

Ini bukan sekadar soal kenaikan harga telur, ayam, roti, sayur, minyak masak dan juga ais batu. Ini juga bukan sahaja mengenai harga baja dan racun serangga yang diimport serta kos bahan pembinaan yang meningkat tanpa terkawal. Lebih penting lagi, ini mengenai penderitaan dan mata pencarian rakyat apabila kuasa beli mereka merosot dengan barangan keperluan harian yang bukan barangan mewah tetapi dijual dengan harga mewah. Dengan harga barang yang makin naik sedangkan gaji mereka tidak naik tetapi kekal tidak berubah, apa-apa bantuan kewangan tambahan yang diberikan oleh kerajaan telah terhapus kesannya dan tidak membantu sama sekali.


Kerajaan perlu berhenti menyalahkan peniaga, petani atau perniagaan semata-mata apabila mereka turut menjadi mangsa harga tinggi yang dikenakan ke atas mereka oleh kuasa bekalan dan permintaan, peningkatan kos logistik dan pengangkutan. Tindakan yang diambil untuk menghukum semua peniaga adalah semata-mata untuk menutup kegagalan seorang Menteri yang tidak berkesan tetapi tidak menyelesaikan masalah harga yang melambung tinggi malah boleh memburukkan lagi masalah dengan pengurangan bekalan.

Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab kerana gagal bukan sahaja menjangka tetapi juga menangani krisis ini yang memerlukan perhatian penuh Perdana Menteri dan Majlis Pemulihan Negara (MPN), yang nampaknya tidak melakukan tugas mereka. Tidak ada rasa keutamaan atau kesegeraan apabila Menteri Alexander tidak tahu pun apa yang MPN atau Perdana Menteri lakukan untuk mengatasi krisis negara ini.


DAP mencadangkan sebagai langkah pertama, suntikan RM3 bilion daripada hasil yang dikutip daripada Cukai Makmur atau cukai durian runtuh ke dalam Dana Penstabilan Harga Barang Nasional yang memberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran dan bekalan serta sebahagiannya memberi subsidi kos untuk memperlahankan kenaikan harga. Dana Penstabilan Harga Barang Nasional sedemikian juga akan membantu mengurangkan ketidaktentuan harga yang melampau dengan mendapatkan sumber terus daripada pengeluar atau mengurangkan kos logistik.


Di bawah Belanjawan 2022, peruntukan yang diberikan adalah terlalu kecil seperti RM200 juta untuk membantu mengurangkan harga barangan keperluan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan juga di pulau, skim penstabilan harga minyak masak (RM400 juta) dan subsidi tepung untuk kegunaan am (RM40 juta). Sudah tiba masanya Menteri dan Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab dan tidak menjadi pengecut dengan menyalahkan peniaga malah hujan lebat disebalik harga barang yang melambung tinggi.



Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan)