top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Hari MITI 2022 tawar 3,000 peluang kerjaya


GOMBAK, 17 Okt – Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan baharu ditawarkan sempena Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2022 menerusi 27 syarikat gergasi di negara ini.


Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tawaran itu memberi peluang kepada rakyat tempatan yang berkelayakan untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti.


“Kita memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mendapat peluang-peluang kerjaya baharu. Sehingga petang ini (Ahad) kita telah menerima lebih 1,500 permohonan daripada anak-anak tempatan yang berkelayakan.


“Kita akan memastikan 27 syarikat-syarikat gergasi yang menyertai pameran ini memberikan peluang kepada bakat-bakat tempatan.


“Sekali lagi ini dapat menyakinkan kita bahawa anak-anak tempatan berkemampuan,” katanya ketika sidang akhbar sempena Hari MITI 2022 di Tapak Pasar Tani Taman Melawati di sini pada Ahad.


Sempena Pelancaran Hari MITI 2022, Mohamed Azmin dalam ucapanya turut mengumumkan Hari MITI 2022 yang sepatutnya berlangsung pada Ahad dilanjutkan sehingga Isnin.


“Saya rasa amat gembira kerana Hari MITI 2022 telah berjaya mencapai matlamat menarik kehadiran rakyat sekitar Gombak untuk mendapatkan maklumat tepat tentang MITI.


“Saya bertemu pengunjung dan mereka teruja dengan kejayaan MITI dalam bidang industri dan peluang-peluang kewangan yang akan disediakan agensi bawah MITI bagi mencergaskan ekonomi mereka,” jelasnya.


Pada majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan Anugerah Standard dan Akreditasi di Malaysia di bawah Jabatan Standard Malaysia (JSM) kepada lima individu daripada pakar akreditasi dan pakar pembangunan standard daripada pelbagai agensi.


Individu berkenaan adalah Alex Francis Lourdes daripada Hospital Raja Perempuan Bainun; Ir Tan Chow Heang (Tenaga Nasional Berhad); Woo Seng Khee (SIRIM Berhad); Dr Priya Ragunath (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Kamarul Arieffin Rosli (SIRIM QAS International Sdn Bhd).


Penganugerahan tersebut adalah bagi menghargai sumbangan mereka dalam usaha memajukan bidang standardisasi dan akreditasi di Malaysia.


Selain itu, ia juga sebagai galakan bagi memupuk budaya celik kualiti dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.

bottom of page