• Arissa Azman

Harimau Malaya mampu jinakkan Sang Garuda-Hamidin

18 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad Harimau Malaya mampu membenam musuh tradisinya, Indonesia pada Ahad ini, andai semua pemain memberikan komitmen penuh.


Hamidin yang mengadakan perjumpaan secara maya dengan skuad kebangsaan yang sedang mengharungi kempen Piala AFF 2020 di Singapura, menganggap aksi terakhir Kumpulan B menentang skuad Garuda itu tidak mustahil untuk dimenangi.


"Saya mempunyai keyakinan tinggi pasukan kita boleh mengalahkan Indonesia dengan berbekalkan komitmen semua pemain dan pegawai, serta strategi yang betul. Ia berserta kemahuan pasukan yang mustahak untuk kita adunkan dengan sebaik mungkin untuk capai kejayaan," katanya menerusi kenyataan. Hamidin bagaimanapun meminta skuad kendalian Tan Cheng Hoe supaya berhati-hati dan lebih berwaspada supaya tidak tercicir mata pada aksi tersebut, dengan skuad negara wajib menang untuk meraih tiket ke separuh akhir.

"Kita wajib menang, tak boleh seri. Kalau kita sudah mendahului satu gol pun, Indonesia masih boleh samakan kedudukan pada minit-minit akhir.


"Jadi kita kena berhati-hati. Saya fikir pemain sudah tahu tugas dan tanggungjawab mereka. Saya yakin Harimau Malaya mampu melakukannya," kata beliau.

Ketika perjumpaan virtual itu, Hamidin turut mendengar laporan perkembangan pasukan daripada pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Cheng Hoe, serta maklum balas daripada beberapa pemain skuad Harimau Malaya.


Aksi Malaysia bertemu Indonesia dijadualkan di Stadium Nasional Singapura pada 8.30 malam Ahad ini, manakala juara bertahan Vietnam bakal menentang Kemboja di Stadium Bishan pada waktu yang sama.


Indonesia mendahului Kumpulan B dengan kelebihan jaringan walaupun berkongsi tujuh mata dengan Vietnam. Malaysia berada di tempat ketiga dengan enam mata, diikuti Kemboja (tiga mata) dan Laos di tangga tercorot tanpa sebarang mata.




-- BERNAMA