• newsatmy

Harimau Malaya tetap menjalankan latihan pusat 10 hari.

1 Mac 2021

MELAKA - Skuad Harimau Malaya akan tetap menjalani latihan pusat selama sepuluh hari seperti dijadualkan bermula 20 Mac ini biarpun baki aksi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda ke Jun.


Pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata penangguhan pusingan kedua aksi Kumpulan G itu juga dilihat membolehkan pasukan kebangsaan melakukan persediaan lebih rapi dan membentuk barisan yang mantap.


Katanya, ia juga peluang terbaik kepada Ketua Jurulatih Kebangsaan Tan Cheng Hoe berikutan lebih setahun tidak dapat menghimpunkan pemain bagi menjalani kem pusat susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.


"Ruang ini sudah tentu akan digunakan sebaiknya oleh beliau untuk menilai senarai 23 pemain yang bakal dipanggil dan digandingkan dalam skuad kebangsaan setelah lama berehat, tidak berada dalam satu pasukan sama dan tiada perlawanan kompetitif.


"Lebih-lebih lagi Liga Super yang akan bermula pada 5 Mac nanti, sudah tentu pemain berada pada prestasi dan momentum terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Train for Trainers di Banda Hilir di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.


Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan penangguhan baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G yang sepatutnya berlangsung pada Mac.


Sementara itu, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata badan induk bola sepak negara itu tidak berhasrat untuk membida sebagai tuan rumah bagi kempen kelayakan tersebut yang diadakan secara karnival pada Jun ini.


Beliau berkata ia memandangkan kes COVID-19 yang masih belum reda selain angka kes yang direkodkan masih tinggi selain beberapa kriteria utama yang ditetapkan badan induk bola sepak Asia itu sukar untuk dipenuhi.


"Kita telah awal-awal lagi menolak hasrat terlibat dalam bidaan venue bagi perlawanan yang akan diadakan secara karnival itu kerana banyak faktor kekangan melibatkan tahap keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi," katanya.


Mengikut jadual asal, Malaysia akan menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dan menamatkan pusingan itu dengan berdepan Thailand pada Jun.


Selepas lima perlawanan, Malaysia berada di tempat kedua dengan sembilan mata, mengekori pendahulu kumpulan, Vietnam yang mengutip 11 mata, Thailand di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (enam mata) dengan kelebihan satu perlawanan dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.


- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.