top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Hentikan agenda politik kepartian, utamakan rakyat! -Dato' Sahruddin Jamal

16 Ogos 2021

Sudah hampir dua tahun sejak Malaysia diuji dengan pandemik yang berbahaya, Covid-19 yang memberi impak yang negatif kepada ekonomi negara, di mana kita mengalami kemerosotan, suasana politik tidak stabil, dan rakyat turut terkesan.


Setiausaha Perikatan Nasional Negeri Johor, Dato' Dr. Sahruddin Jamal berkata, sejak Kerajaan Perikatan Nasional, di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Mohd Yassin, selaku Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri mengambil alih pentadbiran Kerajaan, mereka sebaik mungkin menguruskan pandemik ini dengan sebaik-baiknya tanpa putus asa dan menggalas tanggungjawab dengan tenang.


"Walaupun diasak dari semua sudut, Kerajaan ini tidak pernah sesekali mengalah dengan segala konflik dan krisis yang dihadapi, sebaliknya kekal tenang serta hadir dengan pelbagai perancangan intervensi dan pelan pemulihan.


"Kini, lebih 17 juta rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah menerima dos pertama," ujarnya.


Lebih 40 peraus populasi dewasa telah mendapatkan dos lengkap.


"Berkat doa, kesabaran dan kesungguhan semua pihak, diharapkan trend penurunan ini akan berterusan, dan ia menuntut kerjasama dan sokongan terhadap segala usaha yang sedang mahupun yang akan dilakukan," tambahnya.


Beliau turut meluahkan rasa kesal di mana ada sesetengah pihak meletakkan negara dalam krisis politik selain menganggu gugat kestabilan pentadbiran Kerajaan dan tumpuan yang terutama ketika ini adalah menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat.


Atas sebab itu, penting bagi setiap parti sama ada di dalam mahupun di luar Perikatan Nasional untuk bersikap rasional dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda politik kepartian.


Kerajaan pada masa kini sentiasa berusaha keras malah memberikan komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada pandemik COVID-19.


"Sudah menjadi kewajaran bagi semua pihak untuk memberikan sokongan kepada Kerajaan dalam mendepani cabaran COVID-19, sekali gus menghentikan polemik politik serta perebutan kuasa dan jawatan,


"Sebaik sahaja situasi mulai reda dan Pelan Pemulihan Negara menunjukkan kejayaan

menyeluruh, mandat akan dikembalikan kepada rakyat disusuli dengan pilihan raya umum seperti yang dimahukan pelbagai pihak,


"Justeru itu, desakan pihak-pihak tertentu agar Perdana Menteri meletakkan jawatan pada kadar segera ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19 bukanlah satu penyelesaian


"Kerajaan perlu terus berfungsi seterusnya memacu setiap tindakan yang direncanakan menuju hala tuju yang telah ditetapkan,


"Inilah yang terbaik untuk rakyat dan negara pada ketika ini," ujar beliau.



--PN Online

bottom of page