top of page
  • cik skod

Hoki Piala Sultan Azlan Shah diawalkan ke 1 Nov


IPOH,14 Ogos: Kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 diawalkan dari 1 hingga 10 Nov depan, menurut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu dijadual pada 15 hingga 25 Nov, namun ditukar bagi membolehkan pasukan negara membuat persediaan menghadapi kejohanan lain.


Menurutnya, selain Malaysia sebagai tuan rumah, negara lain yang telah mengesahkan penyertaan adalah juara edisi 2019 Korea Selatan, Kanada, Jepun, Afrika Selatan dan Pakistan. "Jemputan kita buat berasaskan maklumat daripada ketua jurulatih, Arul Selvaraj bahawa negara jemputan bukan calang-calang pasukan, tetapi hadir dengan status hebat.

"Skuad negara memerlukan perlawanan sebegitu sebagai persediaan untuk Piala Asia tahun depan," katanya dalam sidang media di sini semalam.


Subahan berkata pihaknya yakin edisi di sini akan mendapat sokongan padu penonton yang merindui aksi melibatkan pemain terbaik dan perlawanan bertaraf dunia.

Dalam pada itu, beliau berkata format pertandingan tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.


Kali terakhir Piala Sultan Azlan Shah berlangsung adalah pada 2019 dengan pasukan negara mendapat tempat ketiga.

-- BERNAMA

bottom of page